sukan@hmetro.com.my
Subang Jaya: Zureen Alyssa Qaisara, 16, melengkapkan penamat bak kisah dongeng dalam saingan boling Sukan Malaysia (SUKMA) apabila mengatasi kesakitan kecederaan tangan kanan untuk meraih pingat emas Masters wanita.
Manakala Ethan Damien Goh dari Sarawak menampilkan aksi terbaiknya pada penampilan terakhir untuk dinobatkan juara Masters lelaki di Sunway Mega Lanes.
Kejayaan Zureen amat bermakna buat Perlis yang hadir ke Selangor tanpa sebarang emas boling dalam sejarah penyertaan SUKMA, namun bakal pulang dengan dua emas.
Nurul Aisyah Salleh menamatkan kemarau itu menerusi kejayaan memenangi acara perseorangan wanita pada hari pembukaan, sebelum Zureen yang berasal dari Kangar dan produk program Majlis Sukan Negeri Perlis membuktikan pembangunan sukan negeri itu berada pada landasan tepat.
Zureen bangkit daripada ketinggalan satu permainan sebanyak dua kali dalam peringkat kalah mati. Pada separuh akhir, dia mengejutkan wakil Selangor, Adelia Nur Irwan Syazalee 155-216, 162-161, 237-193 sebelum mengulangi pencapaian itu ketika menewaskan pilihan Sarawak, Lavinia Kho di final.
Selepas tewas permainan pertama 160-223, Zureen bangkit cemerlang menerusi permainan kedua dan ketiga dengan catatan 246 dan 211 mata, berbanding Lavinia yang mencatatkan 215 dan 194 mata, sekali gus memastikan pingat SUKMA pertamanya hadir dalam bentuk emas.
“Saya sangat terharu kerana ini pingat emas pertama saya dan juga pingat pertama saya di SUKMA.
“Saya sudah cuba daripada acara perseorangan, beregu dan kemudian berpasukan, tetapi masih tidak berjaya mendapatkan pingat. Hari ini, akhirnya saya berjaya,” kata Zureen.
Pencapaiannya lebih mengagumkan apabila dia sudah menanggung kecederaan akibat penggunaan berlebihan pada tangan kanannya sebelum temasya bermula.
“Ia masih sakit, tetapi tiada banyak perkara yang boleh saya lakukan, jadi saya teruskan sahaja bermain,” katanya.
Jika Zureen menghadiahkan penamat bermakna buat Perlis, Ethan pula memastikan Sarawak tidak pulang dengan tangan kosong pada hari terakhir.
Ethan tampil cemerlang dalam final sistem stepladder apabila menewaskan wakil Pahang, Muhammad Danial Abu Samah 268-230, 237-215 pada separuh akhir sebelum menundukkan rakan sepasukan, Muhammad Isyraq Iqbal Ramadhan 247-209, 245-210 dalam pertembungan final sesama Sarawak.
Emas itu menyaksikan peningkatan besar buat Ethan yang sebelum ini hanya meraih gangsa dalam acara berpasukan pada SUKMA lalu.
“Tahun ini jauh lebih baik. Saya berlatih setiap hari dan terus memperbaiki bahagian yang menjadi kelemahan dalam permainan saya,” kata Ethan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


