Israel terima risikan salah sebelum serang pangkalan udara Syria – AS

ANKARA: Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Ankara, Tom Barrack berkata pada Sabtu bahawa risikan salah menjadi penyebab kepada serangan Israel terhadap sebuah pangkalan udara tentera di utara Syria, Selasa lalu.

Barrack, yang turut berkhidmat sebagai Utusan Khas AS bagi Syria dan Iraq, mengulas mengenai serangan udara Israel ke atas Pangkalan Udara Tentera Abu al-Duhur yang telah ditinggalkan di wilayah Idlib timur.

Dalam satu hantaran di media sosial, Barrack berkata, beliau tidak mengetahui sebab serangan itu dilancarkan.

Namun, beliau boleh berkongsi jawapan yang diterimanya.

Menurutnya, Israel menerima risikan bahawa Turkiye mungkin sedang memindahkan aset ketenteraan ke pangkalan udara itu di Syria dan berkongsi maklumat tersebut dengan Washington.

AS kemudian menyiasat maklumat risikan berkenaan, kata Barrack.

“Kami berunding dengan agensi risikan kami dan jawapan yang kami terima ialah dakwaan itu tidak benar,” katanya.

Barrack turut berkata kemungkinan berlaku  salah komunikasi antara tentera Israel, agensi risikan Mossad dan Pejabat Perdana Menteri Israel.

Beliau menegaskan bahawa AS mahupun Turkiye tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai serangan tersebut.

Barrack menyifatkan tentera Turkiye sebagai kuat dan berani, selain berkata ia dilengkapi dengan sangat baik dan tahu menjalankan tugasnya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mendakwa bahawa tentera Turkiye sedang cuba ditempatkan di pangkalan itu dan mengerahkan kemudahan ketenteraan yang bergerak ke arah selatan.

Pesawat perang Israel telah menyerang Pangkalan Udara Tentera Abu al-Duhur yang terbiar di wilayah Idlib timur, utara Syria.

Tiada maklumat diberikan mengenai sama ada terdapat kematian atau kecederaan dalam serangan tersebut. – AGENSI

Scroll to Top