Takiyuddin dedah disiasat empat jam oleh RoS

KOTA BHARU: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan beliau disiasat selama kira-kira empat jam semalam oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) susulan aduan yang dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Beliau berkata, penjelasan kepada pegawai penyiasat RoS itu berhubung keputusan PN tidak memanggil parti berkenaan ke mesyuarat perundingan pada 16 Julai.

Katanya, beliau turut memberikan penjelasan berhubung tindakan Bersatu memburuk-burukkan Pas serta parti sekutu lain dalam gabungan tersebut walaupun menggunakan logo yang sama.

“Pada 15 Julai, Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yasin) membuat kenyataan umum bahawa mereka mahu menggunakan logo sendiri, iaitu Bunga Raya dan tidak mahu menggunakan logo PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Oleh itu, PN tidak memanggil mereka untuk mesyuarat perundingan pada 16 Julai,” katanya semasa menyampaikan Ceramah Isu Semasa dan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan RoS mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Bersatu hari ini antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Ini termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.-UTUSAN

Scroll to Top