nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) semalam.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS memaklumkan beliau memberi keterangan selama empat jam bagi menjelaskan perkara yang berlaku susulan aduan dibuat oleh pimpinan BERSATU.
“Semalam saya disiasat oleh RoS, empat jam saya disiasat dan memberi keterangan. Pertubuhan itu memanggil saya kerana terdapat aduan daripada BERSATU mendakwa mereka yang turut berada dalam PN tidak dipanggil dalam perbincangan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Jadi saya dipanggil untuk memberi penjelasan dan saya menjelaskan beberapa faktor kenapa parti itu tidak dipanggil untuk perbincangan.
“Kita dapati banyak perkara yang tidak betul dilakukan parti itu kepada PN bermula pada PRN Johor. Mereka bertanding logo yang sama namun memburukkan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Isu Semasa dan RUU Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di sini, hari ini.
Pada masa sama, Takiyuddin turut memaklumkan pimpinan BERSATU sendiri yang mengumumkan di PRN Negeri Sembilan yang mahu menggunakan logo sendiri.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan menerima aduan rasmi daripada BERSATU berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lalu.
RoS memaklumkan aduan berkenaan yang diterima itu turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan BERSATU dalam gabungan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
