Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini.
Ketibaan baginda pada 9.15 malam disambut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) Datin Seri Masdiana Muhamad, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari serta Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Faridah Abdul Samad.
Baginda kemudian berkenan menyertai jemaah wanita mengalunkan selawat dipimpin Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa Ustazah Nor Farhatul Fairuzah Panut, disusuli tazkirah bertajuk “Meneladani Akhlak Rasulullah Muhammad SAW: Inspirasi Buat Wanita Beriman” oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar.
Majlis anjuran WBS yang bermula seawal 6 petang itu bukan sahaja menyemarakkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi juga menyerlahkan kebersamaan baginda bersama rakyat dalam mengukuhkan ukhuwah serta nilai kerohanian di Selangor.
Terdahulu, Siti Faridah dalam sembah ucapannya berkata kehadiran 10,000 jemaah wanita itu membuktikan kekuatan luar biasa yang dimiliki apabila wanita bersatu di atas landasan kebaikan dan semangat perpaduan.
Beliau berkata majlis itu menjadi titik permulaan untuk jemaah bersama-sama berselawat dan berdoa di samping memohon keharmonian negeri serta generasi akan datang yang berilmu dan berakhlak.
Peserta yang hadir turut diseru untuk menjadi umat yang mendekatkan diri kepada Allah, mencintai Rasulullah SAW, tabah menghadapi cabaran dan memberi manfaat kepada masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd
