am@hmetro.com.my
Kulai: Polis sedang mengesan dua penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), di sini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 33 saat yang tular di laman Facebook memaparkan sekumpulan individu dipercayai menutup laluan awam bagi memberi ruang kepada dua motosikal berlumba.
Menurutnya, siasatan mendapati dua penunggang motosikal berkenaan bersaing dari Kilometer (KM) 33 susur Tol Senai Utara hingga KM31 susur Johor Premium Outlet (JPO).
“Video berkenaan tular pada jam 3 petang hari ini. Dua motosikal terbabit tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenisnya.
“Susulan penyebaran video itu, bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah Kulai sedang menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Harian Metro melaporkan tular video menunjukkan perbuatan sekumpulan lelaki yang sengaja menahan kenderaan dan menghalang laluan semata-mata bagi memberi ruang kepada ‘lumba haram’.
Menerusi video itu, dua motosikal didapati dipandu penunggang dengan melakukan aksi Superman berserta sorakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
