Dilema UMNO/BN di kawasan bandar

PADA 27 Julai lalu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO dan Barisan Nasional (UMNO/BN) perlu menyesuaikan strategi bagi meraih sokongan pengundi bandar.

Ini disebabkan landskap demografi negara telah berubah dengan drastik di mana majoriti rakyat kini termasuk orang Melayu menjadi kawasan bandar sebagai tempat bermastautin.

UMNO/BN mungkin boleh berbangga apabila menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Dan mereka diramalkan bakal mencipta hatrik apabila Melaka pula akan menyusul.

Tetapi perlu diingat, cabaran utama bukannya PRN. Tetapi Pilihan Raya Umum (PRU) kerana ia yang menentu siapa yang akan jadi kerajaan Persekutuan.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bakal tiba paling maksimum sekitar satu tahun lagi, UMNO/BN perlu menilai kemampuan mereka untuk menang di kawasan bandar seperti mana kata Johari.

Para penganalisis berpendapat, jika UMNO/BN mahu kembali menjadi pilihan utama rakyat, persoalan paling besar bukan sekadar berapa banyak kerusi yang mampu ditandingi, tetapi bagaimana mereka mahu menawan semula hati pengundi bandar.

Sejak dari PRU13 hingga ke PRU15, kawasan bandar memang menjadi medan politik yang cukup sukar kepada UMNO/BN.

Ini disebabkan pengundinya terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, lebih kritikal terhadap prestasi kerajaan dan tidak semestinya terikat kepada kesetiaan tradisional kepada mana-mana parti.

Mereka boleh menukar sokongan berdasarkan isu, calon, prestasi kerajaan dan keyakinan terhadap masa depan.

Justeru, untuk menang perlu menggunakan pendekatan dan strategi berbeza.Pendekatan lama yang bergantung kepada sentimen parti, nostalgia sejarah dan ceramah politik semata-mata tidak lagi mencukupi.

UMNO mempunyai sejarah panjang dalam politik negara, manakala BN mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran. Tetapi pengalaman itu perlu diterjemahkan kepada tawaran politik yang relevan dengan kehidupan pengundi bandar hari ini.

Persoalannya, untuk memang di kawasan bandar sudah tentu kena tahu apakah yang sebenarnya dikehendaki pengundi bandar?

Kos sara hidup yang lebih terkawal, harga rumah, sewa kediaman, makanan, pengangkutan, pendidikan dan penjagaan anak antara itu yang sering dijadikan alasan untuk mengubah kepimpinan di bandar.

Pengundi mungkin tidak terlalu teruja dengan slogan politik, tetapi mereka amat peka apabila pendapatan bulanan tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan keluarga.

Bagaimana pula dengan usaha memahami generasi pengundi baharu?

Anak muda di bandar tidak semestinya melihat politik melalui kaca mata generasi terdahulu. Mereka membesar dalam era media sosial, ekonomi digital dan komunikasi tanpa sempadan. Mereka tidak mempunyai ikatan emosi yang sama terhadap sejarah parti.

Bagi mereka, persoalan lebih mudah: Apa yang parti boleh lakukan untuk masa depan mereka?

Jika UMNO/BN terus bercakap mengenai kejayaan masa lalu tetapi gagal menjawab persoalan pekerjaan, gaji, pendidikan, teknologi, kecerdasan buatan, perumahan dan mobiliti sosial, sukar untuk mereka diyakinkan.

Bagaimana pula dengan soal calon? Pendapat umum mengatakan di kawasan bandar, calon yang mempunyai kredibiliti, integriti dan keupayaan berkomunikasi dengan masyarakat boleh menjadi faktor penentu.

Pengundi tidak mahu calon yang hanya muncul ketika pilihan raya. Mereka mahu wakil rakyat yang boleh ditemui, menjawab persoalan dan benar-benar memahami masalah kawasan.

Sebab itu, UMNO/BN perlu berani memilih calon yang mempunyai rekod bersih, profesional dan dekat dengan masyarakat.

Jangan kerana seseorang itu mempunyai kedudukan dalam parti atau berjasa kepada pemimpin tertentu, dia dianggap secara automatik layak menjadi calon. Politik bandar memerlukan wajah yang mampu mewakili kepelbagaian masyarakat. Pada masa yang sama, UMNO/BN perlu semak adakah komunikasi politik mereka cukup berkesan?

Antara kelemahan parti politik tradisional ialah kecenderungan bercakap dari atas ke bawah. Dalam dunia media sosial, pengundi bukan sekadar mahu mendengar. Mereka mahu bertanya, mengkritik dan mendapatkan jawapan.

Justeru, UMNO/BN perlu membina pasukan komunikasi digital yang profesional, pantas dan berfakta. Jangan setiap kritikan dijawab dengan serangan peribadi. Jangan setiap perbezaan pendapat dianggap sebagai pengkhianatan. Pengundi bandar lebih menghargai pemimpin yang mampu mengakui kesilapan dan menjelaskan rasional sesuatu keputusan.

Yang paling penting dalam keadaan huru-hara politik pada masa ini, ketika tidak ada satu pun parti yang mampu berdiri sendiri, UMNO/BN mesti dilihat menawarkan politik yang sederhana dan stabil.

Pengundi bandar lazimnya berdepan dengan masyarakat yang lebih majmuk. Mereka bekerja dengan rakan daripada pelbagai kaum, tinggal dalam komuniti yang berbeza dan berinteraksi dengan pelbagai budaya.

Oleh itu, politik yang terlalu bergantung kepada provokasi kaum dan agama boleh menjadi penghalang kepada usaha mendapatkan sokongan lebih luas.

Ini tidak bermakna UMNO perlu meninggalkan agenda memperjuangkan kepentingan orang Melayu. Sebaliknya, perjuangan itu perlu dibawa dalam kerangka yang meyakinkan bahawa apabila kepentingan Melayu dipertahankan ia akan membawa kestabilan yang akan memberi manfaat kepada kaum lain termasuk hak dan kepentingan mereka.

UMNO perlu menjelaskan bahawa memperkukuh orang Melayu bukan bermaksud melemahkan kaum lain. Dalam negara majmuk, politik yang mampu meyakinkan semua kelompok mempunyai kelebihan besar.

Dan persoalan yang sering ditanyakan tetapi mungkin tidak ada yang perasan pada pasca PRU15 dan PRU15 adalah apakah BN hari ini? Kenapa pengundi perlu memilih mereka? Tidak cukup sekadar mengatakan parti lain tidak baik. BN perlu menerangkan apa yang membezakannya.

Apakah agenda ekonominya? Apakah dasar anak muda? Apakah pendekatan terhadap pendidikan? Bagaimana mahu menyelesaikan masalah perumahan bandar? Bagaimana mahu memperbaiki pengangkutan awam? Bagaimana mahu memastikan peluang ekonomi lebih adil?

Jawapan kepada persoalan inilah yang perlu memenuhi kempen pilihan raya. Akhirnya, UMNO BN perlu menerima satu hakikat: pengundi bandar tidak boleh dianggap sebagai kumpulan yang sudah pasti menolak mereka.

Contohnya pada PRU15, UMNO/BN masih mampu menang di satu kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.  Ketika parti itu tewas di semua kerusi Parlimen bandar, kenapa ia boleh menang satu kerusi di Kuala Lumpur?

Satu kerusi itu bukti bahawa jika kena gayanya, pengundi bandar sedia menerima pemimpin UMNO/BN sebagai wakil rakyat mereka.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Scroll to Top