Wacana mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak seharusnya bertumpu hanya kepada isu kebebasan mahasiswa dan autonomi universiti.
Sejak diperkenalkan pada 1971, AUKU melalui beberapa siri pindaan, termasuk pindaan terbaharu yang memperluas ruang pemerkasaan mahasiswa. Perjalanan lebih lima dekad ini menunjukkan AUKU sentiasa disesuaikan dengan perubahan landskap pendidikan tinggi dan keperluan semasa.
Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian adalah kelangsungan ekosistem pembangunan pelajar yang selama ini menjadi sebahagian penting daripada fungsi institusi pendidikan tinggi (IPT).
Universiti bukan sekadar tempat mahasiswa memperoleh kelayakan akademik. Tempoh pengajian di universiti adalah fasa penting peralihan golongan muda menuju alam dewasa. Dalam tempoh inilah mereka membentuk identiti, membina keyakinan, mengasah kepimpinan, belajar membuat keputusan dan membina hubungan dengan masyarakat.
Justeru, jika pemansuhan AUKU menjadi sebahagian daripada reformasi pendidikan tinggi negara, kerangka menggantikannya perlu memastikan fungsi pembangunan pelajar terus terpelihara, malah diperkukuh.
Memberikan autonomi yang lebih luas kepada mahasiswa adalah langkah penting dalam proses pendewasaan mereka. Pelajar perlu diberikan ruang mengurus organisasi, menyuarakan pandangan, merancang program, mengurus sumber dan terlibat dalam keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka di kampus.
Namun, autonomi sahaja tidak menjamin kematangan. Keupayaan membuat keputusan secara matang perlu dibentuk melalui pengetahuan, pengalaman dan peluang memikul tanggungjawab. Semakin besar ruang autonomi diberikan, semakin tinggi keperluan untuk membina keupayaan serta akauntabiliti mahasiswa.
Sebagai contoh, apabila mahasiswa diberikan tanggungjawab mengurus organisasi dan kewangan, mereka perlu memahami perancangan, integriti, ketelusan serta pertanggungjawaban terhadap keputusan yang dibuat.
Pengalaman sedemikian sebahagian daripada proses pendidikan. Mahasiswa belajar bahawa kebebasan bukan sekadar hak untuk membuat pilihan, tetapi kesediaan memikul akibat daripada pilihan itu. Dalam proses ini, peranan pensyarah, pengajar dan pegawai IPT menjadi semakin penting. Mereka tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pentadbir program, pemberi kelulusan atau pihak yang mengawal aktiviti mahasiswa. Sebaliknya, berfungsi sebagai pembimbing pembangunan pelajar.
Bimbingan bukan bermaksud mengambil alih tanggungjawab mahasiswa. Pelajar tetap perlu diberikan ruang mencuba, memimpin dan membuat keputusan. Yang diperlukan adalah hubungan yang membolehkan golongan muda belajar daripada pengalaman golongan dewasa tanpa menafikan suara dan keupayaan mereka sendiri.
Pendekatan ini selari dengan konsep keserakanan belia-dewasa atau Youth–Adult Partnership (Y-AP) dalam bidang pembangunan belia. Y-AP meletakkan golongan muda dan dewasa sebagai rakan pembangunan. Dalam konteks IPT, mahasiswa dan warga universiti berkongsi ruang untuk merancang, membuat keputusan, melaksanakan serta menilai sesuatu inisiatif.
Pelajar membawa idea, tenaga, kreativiti dan perspektif generasi mereka. Pensyarah, pengajar, pegawai dan kakitangan di IPT pula membawa pengalaman, pengetahuan, sumber dan jaringan. Penggabungan kedua-dua kekuatan ini mewujudkan proses pembangunan pelajar yang lebih bermakna.
Justeru, pemerkasaan mahasiswa perlu bergerak daripada paradigma ‘kawalan’ kepada ‘keserakanan’. Keserakanan belia-dewasa penting kerana ia dapat memperkukuh dua bentuk aset utama dalam pembangunan mahasiswa, iaitu aset dalaman dan luaran. Aset dalaman merangkumi kekuatan yang terbentuk dalam diri mahasiswa seperti kepimpinan, komunikasi, keyakinan diri, pemikiran kritis, kerja berpasukan dan kemahiran membuat keputusan.
Aset luaran pula, khususnya jaringan, hubungan dan sokongan yang tersedia kepada mahasiswa iaitu pensyarah, pengajar, pegawai dan kakitangan di IPT mempunyai hubungan dengan industri, agensi kerajaan, alumni, komuniti serta badan profesional.
Hubungan itu boleh menjadi jambatan yang mempertemukan mahasiswa dengan peluang baharu. Apabila pensyarah memperkenalkan pelajarnya kepada pakar industri atau pegawai membawa mahasiswa bekerjasama dengan komuniti, mereka sebenarnya sedang memperluas lingkungan sosial dan profesional mahasiswa.
Kemahiran ini sukar dibina melalui kuliah semata-mata. Pelajar belajar memimpin apabila diberikan tanggungjawab sebenar. Mereka belajar berkomunikasi apabila perlu meyakinkan orang lain. Mereka membina pemikiran kritis apabila perlu mempertimbangkan pelbagai pandangan sebelum membuat keputusan.
Atas pertimbangan ini, pemansuhan AUKU perlu dirancang dengan teliti agar tidak mewujudkan kekosongan dalam ekosistem pembangunan mahasiswa. Kerangka baharu perlu bergerak melangkaui persoalan siapa mempunyai kuasa dan sejauh mana kebebasan perlu diberikan. Ia juga perlu menjawab bagaimana mahasiswa akan dibangunkan apabila lebih banyak tanggungjawab diserahkan kepada mereka.
Ukuran kejayaan reformasi bukan sekadar berapa banyak ruang autonomi diberikan. Ukuran yang lebih bermakna sama ada kerangka baharu mampu melahirkan mahasiswa yang autonomi tetapi bertanggungjawab, kritis tetapi matang, berkemahiran serta mempunyai jaringan luas.
Universiti tidak perlu membuat semua keputusan bagi pihak mahasiswa. Pada masa yang sama, mahasiswa tidak seharusnya dibiarkan mencari jalan bersendirian. Apa yang diperlukan adalah ekosistem yang memberikan mereka ruang untuk memimpin, peluang membuat keputusan, pembimbing untuk dirujuk dan jaringan untuk berkembang.
Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad ialah Pensyarah Pembangunan Belia, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

