LEWIE Coyle menyifatkan kemenangan 2-0 Hull City ke atas Manchester United sebagai sesuatu yang sukar dibayangkan, apatah lagi ia hadir ketika kelab itu kembali ke pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sembilan tahun.
Semi Ajayi dan Nobel Mendy muncul wira Hull apabila masing-masing meledak gol untuk menghadiahkan permulaan penuh bergaya kepada skuad kendalian Sergej Jakirovic di Stadium MKM.
“Boleh dikatakan sebelum kami tidur malam tadi, kami tidak mampu membayangkan keputusan yang lebih baik.
“Tetapi untuk mengatakan saya terkejut, sudah tentu kemenangan 2-0 di laman sendiri menentang Manchester United akan mengejutkan ramai pihak,” ujar Coyle.
Kapten Hull itu bagaimanapun percaya kemenangan tersebut bukan semata-mata disebabkan kejutan, sebaliknya hasil karakter, ketahanan serta perancangan rapi pasukannya dalam menghadapi cabaran EPL.
Kejayaan itu turut mencalarkan rekod United apabila mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah EPL yang tewas dalam aksi pembukaan kepada kelab yang baru dinaikkan ke liga utama.
Selain tajam di depan gawang, Hull turut tampil kental di bahagian pertahanan untuk mengekalkan rekod tanpa bolos, dengan Konstantinos Tzolakis memainkan peranan penting menerusi lima aksi menyelamat.
“Kami tahu apa yang perlu dilakukan apabila bertahan secara bertahan rendah dan kami perlu bertahan,” kata Coyle.