'Saya kasihankan anak jika terpaksa hidup bergelap'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Beranang: “Jika tak dapat bayar hari ini, saya bimbang bekalan elektrik dipotong hingga kami sekeluarga terpaksa tinggal dalam keadaan bergelap.”

Itu luahan Muhammad Putra Shah Iman Yuszaimi, 29, yang kini runsing memikirkan cara mendapatkan wang bagi melangsaikan tunggakan bil elektrik kerana sudah mencecah RM3,000.

Muhammad Putra Shah Iman bukan tidak berusaha membayar tunggakan itu namun tiada pekerjaan tetap buat masa ini.

Lantaran itu, dia bergantung dengan pendapatan hasil upah sekiranya ada yang memerlukan khidmatnya sebagai pembantu gerai makanan di tapak acara, penjaga pesakit terlantar juga mengemas serta membersihkan rumah.

Selebihnya, tujuh beranak itu mengharapkan elaun bulanan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM650 kerana berstatus asnaf fakir.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak memikirkan tentang diri tapi lebih kasihankan anak jika mereka juga terpaksa hidup bergelap.

“Lima anak saya masih kecil kerana yang bongsu berumur tiga tahun dan sulung lapan tahun.

“Sejak semalam, saya dan isteri dipanggil menjadi sukarelawan di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) jadi harapkan duit elaun itu buat masa ini selain bantuan bulanan daripada LZS ” katanya kepada Harian Metro.

Di sebalik ujian itu, Muhammad Putra Shah Iman bersyukur kerana masih dapat tinggal bersama anak dan isteri di rumah milik keluarganya.

“Saya tinggal bersebelahan rumah emak dan ayah…tapi rumah didiami sekarang juga dibina di atas tanah milik ayah.

“Ayah pun ada bantu bayarkan sebahagian tunggakan bil elektrik tapi tak dapat bantu semuanya.

“Saya faham kerana jumlahnya (tunggakan) yang besar jadi harap ada pihak sudi membantu atau ringankan beban saya dengan beri peluang pekerjaan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162526316695 atas nama Muhammad Putra Shah Iman Yuszaimi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah kepayahan Muhammad Putra Shah Iman membesarkan anak dalam keadaan isterinya, Fatin Nur Qanitah Othman, 27, menghidap skizofrenia sejak empat tahun lalu.

Kasih dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa membuatkan Muhammad Putra Shah Iman bertahan walaupun berdepan kesulitan kerana tiada pekerjaan tetap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top