KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan ketara kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) ketika beberapa kawasan di negara ini dilanda jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan antara minggu epidemiologi (EW) 32 dan 33 mendapati kes asma meningkat 259 peratus, manakala URTI melonjak 124 peratus.
Katanya, sebanyak 3,674 kes URTI direkodkan berbanding 1,637 kes pada tempoh sebelumnya, manakala kes asma meningkat kepada 219 kes daripada 61 kes.
“Kes konjunktivitis pula menurun tujuh peratus, iaitu kepada 146 kes berbanding 157 kes,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Wellness Hub Kuala Selangor dan Program Outreach Komuniti Kesejahteraan Minda (K-Mindset), di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat 8 pagi tadi, termasuk lima kawasan di Sarawak.
Kawasan terbabit ialah Serian dengan bacaan 197, Kuching (185), Sri Aman (178), Samarahan (176) dan Sarikei (128).
Dua lagi kawasan ialah Sungai Petani, Kedah dan Taiping, Perak yang masing-masing mencatatkan bacaan 126.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menasihatkan orang ramai, khususnya di Sungai Petani dan Alor Setar, mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu.
Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan diminta lebih berwaspada apabila bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat.
Dzulkefly turut memaklumkan 90 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan, membabitkan 71 kes keletihan haba, 14 strok haba dan lima kekejangan haba.
Katanya, sembilan kes dilaporkan dalam statistik EW terkini, dengan lapan kes strok haba membabitkan peserta Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor.
“Keadaan masih terkawal dengan pemantauan rapi pasukan petugas perubatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala berkaitan haba. –UTUSAN

