MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan hubungannya dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada dalam keadaan sangat baik.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, hubungan Ab Rauf dengan dua lagi wakil rakyat yang sering mendapat perhatian di Melaka, iaitu ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar, juga baik.
“Hubungan kami tiga YB (Yang Berhormat) ini dengan Ketua Menteri sangat-sangat baik. Insya-Allah. Itulah ketua kami dan ketaatan serta kesetiaan kami kepada beliau.
“Biasalah, orang memang akan suka tengok kita berpecah. Tapi sejujurnya, hubungan kami sangat baik,” katanya.
Beliau mengulas tindakan pihak tertentu yang seolah-olah cuba melaga-lagakan hubungan Pengerusi BN Melaka itu dengan tiga ADUN berkenaan.
Menerusi satu hantaran, pemilik akaun berkenaan berkongsi poster bertulis Akmal Saleh, Helmy Duyong dan Dira Abu Zahar (Khaidhirah) yang menaikkan UMNO Melaka, bukannya Ab Rauf.
Akaun yang tidak dapat dipastikan sama ada pemiliknya sahih atau palsu itu turut mendakwa bahawa rakyat Melaka tidak begitu menyokong kepimpinan Ab Rauf, selain mempertikaikan prestasi beliau sebagai Ketua Menteri.
Selain itu, hantaran berkenaan turut membandingkan sikap dan pendekatan Ab Rauf dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memberikan respons kepada media berhubung PRN Melaka.
Hantaran itu telah menarik perhatian Mohd Noor Helmy yang meluahkan rasa kurang senang terhadap pihak berkenaan yang didakwa cuba menimbulkan kebencian terhadap kepimpinan Ab Rauf.
Mohd Noor Helmy meminta pihak terbabit menghentikan perbandingan berkenaan dan menegaskan kepimpinan UMNO Melaka kekal utuh di belakang Ab Rauf.
“Beriya ‘poll’ bagai. Tak kisahlah apa niat sekalipun, hentikan je. Kepimpinan UMNO Melaka solid di belakang Ab Rauf. Banyak benda lain lagi berfaedah boleh dibahaskan,” katanya.