PRN Melaka: Perlu ada perjanjian sekiranya PH-BN setuju kerjasama – Aiman Athirah

am@hmetro.com.my

Seremban: Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Datuk Aiman Athirah Sabu berpandangan perlunya diwujudkan perjanjian antara PH dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya kedua-dua gabungan itu bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang dijangka akan berlangsung dalam tempoh terdekat.

Beliau yang juga Ketua Wanita AMANAH (AWAN) berkata, pandangan itu wajar dipertimbangkan kerana kerjasama antara kedua-dua pihak perlu ditambah baik supaya kerjasama berkenaan lebih kukuh dan lebih padu.

“Dalam proses gerakan kerjasama kita (PH-BN) bagi menghadapi PRN Melaka danseperti juga di peringkat Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan, saya melihat perlunya ada usaha menambah baik secara berterusan dilakukan.

“Jika sebelum ini tiada perjanjian, maka selepas ini (PRN Melaka) kena ada perjanjian supaya kerjasama itu lebih kukuh dan lebih padu.

“Apapun ia akan bergantung kepada perbincangan (pimpinan) antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Konvensyen Wanita AMANAH Negeri Sembilan 2026, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dan Ketua Wanita AMANAH Negeri Sembilan, Zarinna Abu Zarin.

Aiman Athirah berkata, PH bersedia dengan mana-mana parti yang sanggup bekerjasama dengannya termasuk BN bagi menghadapi PRN Melaka, namun ia akan bergantung kepada perbincangan atau rundingan antara kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan perkara itu sedang dirundingkan dan biarlah rundingan berlangsung dengan baik dan lancar.

“Namun, kalau tak ada (kerjasama), maka saya fikir akan berlaku seperti mana di PRN Johor dan Negeri Sembilan. Itu kita tengok dululah, terlalu awal untuk saya membuatkan kesimpulan. Biar rundingan berjalan dulu.

“Tapi bagi saya apapun yang mereka bincangkan dan kerjasama yang ingin dijalin, paling penting adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan PH akan meletakkan calon wanita dalam PRN Melaka, beliau mengesahkan perkara itu, namun bilangannya belum dimuktamadkan.

“Insya-Allah, wanita akan ada kerusi, tapi tak banyaklah… terlalu awal untuk saya sebutkan di sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top