PKR perlu ubah pendekatan sebelum PRN Melaka – Hassan Karim

PASIR GUDANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu melakukan bedah siasat secara menyeluruh terhadap prestasi parti susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang disifatkan sebagai isyarat serius mengenai tahap sokongan rakyat terhadap parti itu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan PRN Johor pada 11 Julai lalu membuktikan naratif kempen yang digunakan PKR gagal diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

Menurut beliau, walaupun PKR cuba mengetengahkan pencapaian pembangunan ekonomi, peningkatan pelaburan, projek infrastruktur mega serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang didakwa mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan, perkara itu tidak memberi kesan seperti diharapkan.

“Fakta-fakta tersebut diakui oleh rakyat Johor tetapi tidak diterjemahkan kepada undi. Soalannya mengapa? PKR kena cari jawapannya.

“Lebih spesifik, kenapa daripada 20 calon PKR yang bertanding, hanya satu kerusi yang menang? Itupun di Puteri Wangsa, satu kawasan DUN bukan majoriti Melayu,” katanya menerusi analisis bertajuk ‘PKR: Adakah Spesies Yang Terancam?’ pada Ahad.

Hassan menambah, persoalan lebih besar yang perlu dijawab kepimpinan PKR ialah mengenai sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu yang didakwanya hanya sekitar enam peratus dalam PRN Johor.

Beliau berkata, keadaan sama turut berlaku pada PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu, walaupun PKR memasuki pilihan raya itu dengan keyakinan lebih tinggi berbanding di Johor.

“Kerajaan Negeri Sembilan sebelum DUN bubar adalah Kerajaan PH dan Menteri Besarnya daripada PKR.

“Namun sekali lagi naratif PKR dan PH yang digunakan semasa kempen telah gagal,” katanya.

Menurut Hassan lagi, PKR dan PH cuba mengetengahkan rekod prestasi kerajaan Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun sejak 2018, termasuk kepimpinan Menteri Besar yang popular, imej kerajaan yang bersih daripada salah guna kuasa serta prestasi pentadbiran yang baik dari aspek ekonomi dan pembangunan.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian berkenaan masih gagal diterjemahkan kepada sokongan pengundi sehingga Menteri Besar turut tewas di DUN Linggi.

“Yang perlu disedari oleh kepimpinan PKR, kenapa semua calon Melayu PKR tewas dalam PRN Negeri Sembilan?” soalnya.

Hassan menegaskan, amat malang sekiranya PKR yang selama lebih suku abad memperjuangkan keadilan, demokrasi dan agenda reformasi kini berdepan risiko kehilangan sokongan rakyat.

Menurutnya, PKR mempunyai matlamat untuk membina sebuah negara yang bersatu padu bagi rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya, selain membawa agenda reformasi yang pernah memberikan harapan kepada rakyat.

“Musuh bagi PKR bukan parti-parti lawan tetapi diri PKR sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan PKR membentuk Kerajaan Persekutuan dan mentadbir negara hampir empat tahun merupakan pencapaian yang tidak boleh dinafikan.

Namun ujarnya, prestasi ekonomi serta data pencapaian kerajaan semata-mata tidak mencukupi untuk diterjemahkan kepada sokongan politik.

“Isu kepada rakyat bukannya data statistik tetapi adalah keyakinan rakyat kepada kepimpinan negara.

“Jika keyakinan atau ‘trust’ itu defisit, maka PKR akan menghadapi masalah bila sampai pilihan raya nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Hassan berharap analisis yang dikemukakannya itu tidak tepat dan PKR masih mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan serta menyelamatkan parti supaya terus mampu memenangi pilihan raya dan menjadi kerajaan.

Beliau menjelaskan, PRN Melaka yang dijangka berlangsung pada September depan boleh menjadi ujian penting terhadap kemampuan PKR melakukan pemulihan.

“Jika PKR menghasilkan kejutan dan beroleh kemenangan yang bermaruah di Melaka, maka buangkan sahaja tulisan ini ke tong sampah,” katanya.

Scroll to Top