Penang FC gagal mula kempen dengan langkah kanan, tewas 0-1 kepada DPMM FC

HASRAT Penang FC untuk memulakan kempen Liga Super 2026/2027 dengan kemenangan tidak kesampaian apabila tewas tipis 0-1 kepada DPMM FC di Stadium Bandaraya di sini, petang Ahad.

Miguel Angelo Agostinho Oliveira muncul wira pasukan pelawat selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan sekali gus membantu DPMM FC membawa pulang tiga mata berharga.

Cuaca panas memaksa kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan tempo yang agak perlahan, namun aksi kekal seimbang dengan masing-masing saling menguji benteng lawan.

DPMM FC hampir membuka jaringan pada minit keenam namun tandukan penyerang dari Brazil Dalberto Luan Belo terkena palang sebelum Penang FC membalas dua minit kemudian menerusi pemain import baharu dari Filipina Javier Augustine Gayoso yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu cuba meningkatkan tekanan dengan Gayoso sekali lagi memperoleh peluang pada minit ke-21 tetapi gagal menghasilkan jaringan.

Tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Muhammad Fazly Mazlan diarah keluar padang susulan kad merah pada minit ke-44, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasarannya terhadap Miguel Oliveira.

Tambahan masa lima minit separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC berjaya menjaringkan gol menerusi Dalberto Luan Belo, namun dibatalkan kerana ofsaid, sebelum Faith Friday Obilor pula menjaringkan gol buat Penang FC tetapi jaringan itu turut tidak dikira selepas pengadil mengesan kekasaran terhadap penjaga gol pelawat.

Penang FC meningkatkan intensiti permainan pada separuh masa kedua dan tampil lebih agresif meskipun beraksi dengan kekurangan seorang pemain, selain mencipta beberapa peluang untuk memburu jaringan namun gagal disudahkan dengan baik.

DPMM FC bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan menerusi Miguel Oliveira pada minit ke-64 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan dengan jaringan 1-0.

Kedudukan pemain kembali seimbang pada minit ke-72 apabila DPMM FC pula kehilangan pertahanan Tommy Mawat Bada yang dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.

Aksi semakin tegang menjelang penghujung permainan dengan ketua jurulatih DPMM FC, James McAllister turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil pada minit ke-84.

Penang FC yang terdesak terus berhabis-habisan memburu gol penyamaan dan memperoleh beberapa peluang pada penghujung aksi, namun nasib tidak menyebelahi Harimau Kumbang apabila kedudukan terus memihak kepada DPMM FC kekal sehingga wisel penamat. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top