Asmara Abigail puji ayam gepuk Malaysia lebih sedap

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon Indonesia, Asmara Abigail menyifatkan hidangan ayam gepuk yang popular di Malaysia lebih sedap berbanding di negara asalnya.

Menurut Asmara atau pemilik nama sebenar Asmara Abigail Sumiskum, 34, Malaysia adalah rumah keduanya berikutan dia sering datang ke ibu kota ini atas urusan kerja.

“Saya suka makan ayam gepuk Malaysia. Walaupun ayam gepuk makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi Malaysia menghasilkan ayam gepuk yang lebih sedap,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun), di GSC Lalaport, di sini, semalam.

Menurut Asmara, antara perkara yang disukainya setiap kali datang ke Malaysia apabila dia dapat meluangkan masa bersama rakan-rakannya di ibu kota.

“Selain bekerja, saya datang ke sini untuk jumpa kawan-kawan di Kuala Lumpur kerana sangat meriah dan ‘hidup’. Saya sukakan pemandangan di sini. Saya boleh berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam dengan mudah.

“Sebagai seorang yang datang dari Jakarta, perkara seperti ini membuatkan saya berharap agar kerajaan kami dapat melakukan perkara yang sama untuk negara kami. Saya sangat sukakan Malaysia,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai filem terbaharunya berjudul Peluru Senja (The Ghost and The Gun) itu, Asmara turut berkongsi cabaran untuk bertutur dalam dialek Pahang bagi menjayakan watak Siti.

“Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Siti. Cabaran utama saya adalah untuk bertutur dalam dialek Pahang.

“Sangat susah sebenarnya. Saya ambil masa selama dua bulan untuk belajar. Tetapi saya dibantu oleh dua rakan pelakon dari Malaysia iaitu Hazman Al Idrus dan Fabian Loo,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Pengabdi Setan ini amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk berlakon dalam filem yang mengangkat tema perang, sejarah dan drama kemanusiaan berlatarkan Tanah Melayu pada 1948 selepas Perang Dunia Kedua.

“Saya rasa gembira kerana ini adalah filem perjuangan yang akan ditayangkan sempena hari kemerdekaan.

“Bagi saya ini adalah satu penghargaan besar apabila pelakon Indonesia diberi kepercayaan untuk membawa watak dan cerita seperti ini. Saya harap filem ini berjaya memenangi hati penonton,” kongsinya.

Selain Asmara, filem Peluru Senja (The Ghost and The Gun) ini turut dibintangi Hazman Al-Idrus, Fabian Loo dan Brett Tutor bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.

Filem bertaraf antarabangsa itu diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn Bhd dan diterbitkan dengan kerjasama FilmsPositive, LDNO Productions, Limbo Pictures serta Viking Sunset Studios.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top