Setengah jam tunggu lepasi lampu isyarat!

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Pengguna jalan raya yang setiap hari melalui Jalan Gelang Patah-Ulu Choh di sini menzahirkan kegusaran kerana terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan hampir setiap hari.

Laluan itu menjadi pilihan orang ramai kerana antara jalan penghubung utama untuk penduduk Pekan Nenas, Pontian ke Bandaraya Johor Bahru dan Woodland, Singapura.

Pengguna mendakwa kesesakan akan menjadi lebih buruk pada waktu puncak sebelah pagi dan lewat petang ketika orang ramai keluar dan pulang dari tempat kerja.

Pembangunan pesat di sekitarnya dengan pembukaan kawasan perumahan baharu menambahkan lagi tekanan kepada aliran trafik selain kenderaan berat.

Pengguna laluan itu, Nor Azura Mohd Amin, 40, berkata, dia menetap di Pontian dan kerap menggunakan jalan berkenaan setiap kali ada urusan kerja di Johor Bahru.

“Saya menggunakan laluan dari Ulu Pulai sebelum masuk ke jalan berkenaan untuk ke Johor Bahru dan kadang kala terpaksa menunggu selama setengah jam untuk melepasi lampu isyarat.

“Kebiasaannya kesesakan berlaku dari arah Ulu Choh ke Gelang Patah dan ia memberi kesan kepada laluan lain termasuklah dari Ulu Pulai,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurut pekerja swasta itu, kesesakan luar biasa boleh berlaku sekiranya hujan lebat dan terdapat kenderaan rosak.

“Selain hari biasa, jalan ini biasanya akan sesak terutama pada musim cuti perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri kerana jumlah kenderaan di atas jalan raya yang banyak.

“Sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil langkah lebih proaktif bagi mengatasi isu ini secara lebih berkesan sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan, Zainol Denan, 65, berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah intervensi jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan isu kesesakan di kawasan berkenaan.

“Baru-baru ini saya difahamkan kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan.

“Namun bagi jangka masa panjang, mungkin sudah tiba masanya jejambat dibina di jalan ini bagi melancarkan aliran trafik sekali gus menyelesaikan isu kesesakan berlarutan sejak sekian lama ini,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top