Krisis gas Bangladesh jejas industri, isi rumah 

DHAKA: Krisis gas asli yang semakin meruncing di Bangladesh menjejaskan operasi kilang, bekalan elektrik kepada isi rumah serta pengangkutan, ketika negara itu bergelut dengan kemerosotan pengeluaran domestik dan gangguan import.

Kilang baja Ashuganj antara yang paling teruk terjejas apabila operasinya terhenti sejak Mac 2025 akibat kekurangan gas. Kilang milik kerajaan itu sebelum ini menggaji lebih 1,200 pekerja dan menghasilkan lebih 1,000 tan baja sehari.

Ashuganj merupakan satu daripada enam loji baja urea utama yang terpaksa ditutup atau mengehadkan operasi akibat kekurangan gas, menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan dan menimbulkan kebimbangan terhadap industri yang berkait dengan keselamatan makanan negara.

Krisis itu turut menjejaskan ratusan kilang lain, termasuk sektor tekstil yang menjadi tulang belakang ekonomi Bangladesh. Negara itu merupakan pengeksport pakaian kedua terbesar dunia, dengan industri berkenaan menyumbang kira-kira 80 peratus pendapatan eksport.

Di rumah, bekalan gas melalui paip juga kerap terputus, manakala loji janakuasa yang menggunakan gas tidak mampu memenuhi permintaan elektrik, menyebabkan gangguan bekalan sering berlaku. Kerajaan turut mengarahkan pusat beli-belah ditutup sejam lebih awal bagi menjimatkan elektrik.

“Kami langsung tidak mendapat bekalan gas pada waktu malam. Kadangkala tekanannya terlalu rendah dan kami tidak boleh menghidupkan dua dapur serentak,” kata suri rumah Nargis Begum, 50, yang tinggal berhampiran kilang Ashuganj.

Penduduk, terutama di kawasan luar bandar, terpaksa beralih kepada dapur kayu, manakala gangguan elektrik menyebabkan mereka terpaksa berdepan cuaca panas tanpa kipas. 

Pemandu beca bermotor yang menggunakan gas turut menyekat jalan raya sebagai tanda protes selepas terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bahan api.

Pengeluaran gas Bangladesh merosot apabila medan lama semakin susut, sedangkan permintaan meningkat. Pakar berkata kerajaan terdahulu gagal melabur secukupnya dalam penerokaan gas, menyebabkan negara semakin bergantung kepada import.

Kebergantungan itu pula terdedah kepada gangguan selepas perang di Asia Barat menjejaskan penghantaran gas asli cecair (LNG), termasuk apabila pergerakan melalui Selat Hormuz terjejas.- AFP

 

Scroll to Top