Belgium, Denmark mara ke pusingan kalah mati

Belgium, Denmark mara ke pusingan kalah mati

Romelu Lukaku menjaringkan gol kedua menentang Finland awal pagi tadi. (Gambar AP)

ST PETERSBURG: Belgium menundukkan Finland 2-0 untuk mara bergaya ke pusingan kalah mati Euro 2020 selaku juara Kumpulan B.

Keputusan itu meletakkan Finland di kedudukan ketiga kumpulan, dengan hanya memiliki peluang tipis untuk mendapat slot ke pusingan 16 terakhir.

Gol sendiri penjaga gol Finland, Lukas Hradecky pada minit ke-74 dan jaringan Romelu Lukaku ketika permainan berbaki sembilan minit memastikan kemenangan ketiga berturut-turut Belgium.

Belgium akan berdepan salah satu daripada pasukan tangga ketiga terbaik di Sevilla pada 27 Jun.

Dalam satu lagi perlawanan, Denmark berjaya melangkah ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 selepas mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Rusia hari ini serta dibantu kejayaan Belgium mengatasi Finland.

Selepas tiga perlawanan, Denmark menduduki tangga kedua Kumpulan B.

Gol sumbangan Mikkel Damsgaard, Yussuf Poulsen, Andreas Christensen dan Joakim Maehle menyaksikan Denmark melakar kemenangan pertama di kejohanan itu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Parken dekat Copenhagen.

Penyokong bersorak gembira apabila Denmark terus meledak gol untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan bergaya selepas berdepan trauma insiden Christian Eriksen yang rebah di atas padang pada perlawanan pertama bertemu Finland.

Denmark akan bertemu Wales pada pusingan kalah mati di Amsterdam.

Scroll to Top