Dubai: Menteri luar Iran pada Ahad menolak ancaman sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) dan menyifatkannya sebagai tanda terdesak sambil menegaskan bahawa langkah baharu itu tidak akan berjaya menundukkan Tehran.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent yang dijadualkan mengadakan sidang media pada 2 pagi Selasa (waktu Malaysia), mengancam untuk mengenakan “sekatan paling tegar dalam sejarah” terhadap Iran.
Ekonomi Iran kini berdepan tekanan hebat akibat sekatan antarabangsa, selain infrastrukturnya mengalami kerosakan berulang kali dan ribuan nyawa terkorban dalam serangan udara sejak AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lalu.
Bagaimanapun, Tehran masih bertahan selepas hampir enam bulan berdepan peperangan, manakala tindakan Iran menyekat pelayaran di Selat Hormuz menyebabkan pergerakan kapal tangki minyak tanpa kebenaran terhenti, sekali gus melonjakkan harga minyak global.
Sambil menyifatkan senario berkenaan sebagai skrip berulang, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dalam satu rakaman video di Telegram berkata, peralihan pemimpin AS daripada operasi ketenteraan kepada rancangan lama membuktikan Washington semakin terdesak.
Katanya, Washington perlu berunding dengan Iran secara terhormat bagi mencari penyelesaian berasaskan keadilan dan maruah.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran mengenai akibat ekonomi terhadap mana-mana negara yang memberikan sebarang bentuk bantuan kepada Iran.
Bessent pula menggesa China bekerjasama dengan Washington, susulan negara itu membeli lebih 80 peratus daripada eksport minyak Iran.
Sementara itu, Iran memaklumkan Panglima Tentera Pakistan, Asim Munir akan melawat Tehran pada Isnin sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan keamanan dan keselamatan di rantau berkenaan.
Sumber kerajaan Pakistan memaklumkan bahawa Munir dijangka akan membincangkan perkembangan terkini termasuk ancaman sekatan baharu AS terhadap Iran.
Serangan AS menjejaskan ekonomi Iran dengan teruk serta memusnahkan sebahagian besar keupayaan tentera laut dan udaranya. Namun, Tehran masih mempunyai keupayaan peluru berpandu dan dron yang mencukupi untuk mengganggu pergerakan kapal tangki minyak serta menyerang musuhnya di rantau berkenaan.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf berkata, Tehran menerima banyak mesej daripada negara jiran berhubung pembentukan susunan keselamatan serantau baharu dan kerjasama ekonomi.
Qalibaf turut menuduh AS membahayakan keselamatan sekutunya di rantau berkenaan demi kepentingan Israel sambil menegaskan bahawa pembentukan susunan serantau yang bebas dan berdikari mampu membawa keamanan serta keselamatan.
Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menyeru penyelesaian secara diplomatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd
