Lagu Muhammad Al-Mustofa buah tangan terbaharu kumpulan Rabbani

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sempena Maulidur Rasul esok, kumpulan Rabbani tampil melancarkan lagu baharu, Muhammad Al-Mustofa yang mengungkap perasaan cinta, kerinduan dan penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW.

Anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, Muhammad Al-Mustofa adalah karya istimewa yang bukan hanya sekadar lagu, tetapi alunan jiwa untuk mengajak pendengar menghayati keindahan peribadi serta perjuangan Rasulullah.

“Lagu Muhammad Al-Mustofa ini adalah alunan jiwa yang mengajak pendengar menghayati keindahan peribadi serta perjuangan Rasulullah SAW membawa cahaya dan rahmat kepada seluruh umat manusia.

“Satu melodi, seribu rasa. Satu selawat, sejuta cinta sekali gus membawa mesej tentang kecintaan, penghargaan dan kerinduan yang sarat terhadap Rasulullah SAW,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azadan, lagu dan lirik Muhammad Al-Mustofa adalah hasil sentuhan segar diilhamkan dua pengkarya berpengalaman, Adi Saujana dan Azahari Nowseeheart dengan gabungan melodi yang mendamaikan jiwa.

“Liriknya sangat penuh makna dan menjadikan karya lagu Muhammad Al-Mustofa ini mudah dihayati oleh pendengar daripada pelbagai peringkat usia.

“Selain itu, karya lagu ini juga boleh disifatkan menjadi penghubung rasa yang menyatukan pendengar melalui mesej kasih sayang, kedamaian dan kemuliaan akhlak Rasulullah SAW,” katanya.

Lebih istimewa, pembawaan vokal khususnya oleh Zul Rabbani menampilkan lenggok dan nuansa muzik klasik yang mengimbau kehalusan seni nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Kata Azadan lagi, setiap bait lagu Muhammad Al-Mustofa juga disampaikan dengan penuh penghayatan oleh semua anggota Rabbani yang menjadikan ia dekat di hati serta mampu menyentuh sanubari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top