PUTRAJAYA – Penampilan sulung pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) bakal menjadi antara tarikan utama yang akan mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyertaan JMF itu ialah satu daripada kelainan pada tahun ini, selain penglibatan lebih banyak kontinjen serta perarakan kereta berhias.
“Antara perkara yang saya rasa mungkin kelainannya pada tahun ini, kita ada pasukan JMF, mereka akan turut serta dengan aset-aset dan pasukan sebanyak 100 orang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan grafik manusia di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi berkata, berbeza dengan tahun sebelum ini, aset ketenteraan dan kepolisan tidak lagi sekadar dipamerkan secara statik di sepanjang laluan perbarisan, sebaliknya ditempatkan di lokasi khas, iaitu di Monumen Alaf Baru bagi membolehkan orang ramai melihatnya dengan lebih dekat.
Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata persiapan di Dataran Putrajaya kini mencecah 70 peratus dan dijangka mencapai antara 80 hingga 90 peratus dalam beberapa hari lagi.
Beliau berkata, kerja-kerja akhir yang sedang giat dilaksanakan termasuk pemasangan struktur “tangga kambing” atau tempat duduk bertingkat serta penyediaan Royal Box.
Menyentuh tentang persembahan grafik manusia, beliau berkata sebanyak 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Selangor kini menjalani latihan hari pertama di tapak lokasi sambutan.
“Saya lihat semangat mereka memang membara dan ini kali pertama mereka berada di lokasi.
“Kita akan teliti beberapa aspek untuk keselesaan mereka dan juga untuk memastikan dari segi persembahan mereka akan cukup bersedia, insya-ALLAH menjelang hari Isnin minggu depan,” katanya.
Fahmi berkata, aspek kesihatan berkaitan keadaan jerebu turut diberi perhatian, dengan prosedur operasi standard (SOP) akan diteliti bersama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya telah mengarahkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk sambutan Hari Kebangsaan pada minggu lepas, isu-isu SOP berkaitan kesihatan perlu kita dapatkan dan kita akan uar-uarkan dalam masa yang terdekat,” katanya.
Bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan, Fahmi berkata, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) akan beroperasi 24 jam bermula dari 30 hingga 31 Ogos ini.
Selain itu, perkhidmatan teksi air percuma turut disediakan untuk tahun ketiga berturut-turut sebagai mod pengangkutan alternatif, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung menikmati keindahan pusat pentadbiran negara.
Beliau berkata, pelbagai sumbangan termasuk makanan dan produk untuk diagihkan kepada peserta serta orang ramai turut disediakan pada hari berkenaan. – Bernama