Dah tiba masanya untuk bangunkan Hospital MARA – Asyraf Wajdi

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan sebuah pasukan khas dimulakan bagi menggerakkan agenda penubuhan Hospital MARA.

Menurutnya, ia bukan sahaja dibangunkan sebagai hospital pengajar tetapi turut melibatkan pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi bumiputera.

Katanya, ini kerana MARA mempunyai ekosistem lengkap untuk penubuhan sebuah hospital kerana mempunyai 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi, UniDental, UniKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) yang melahirkan doktor, selain Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) melatih jururawat.

“Lima rasional utama kenapa sudah tiba masanya untuk membangunkan Hospital MARA ialah pertamanya, MARA sudah mempunyai ekosistem pendidikan yang sangat besar, termasuk UniKL RCMP menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi dan program berkaitan.

“Latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar adalah sebagai sebahagian keperluan untuk melengkapkan ekosistem UniKL RCMP.

“Kedua, MARA sebenarnya sudah mempunyai hampir keseluruhan komponen ekosistem kesihatan – pendidikan perubatan melalui UniKL RCMP, pendidikan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan teknologi melalui KKTM (kini TVETMARA) termasuk Lenggong dan Ledang, jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.

“Kekuatan MARA ialah kita bukan hanya mempunyai institusi perubatan. Kita juga mempunyai TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri. Sebuah hospital boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, rasional ketiga ialah Program Sains Bioperubatan UniKL MESTECH dan disiplin teknologi pelbagai di kampus UniKL lain boleh disepadukan kerana antara kelebihan organisasi itu ialah mempunyai pendidikan perubatan, pendidikan kejuruteraan dan teknologi yang terkait dengan perubatan.

“Keempat, Hospital MARA boleh berfungsi sebagai ‘living laboratory‘ (makmal hidup) untuk pelajar dan penyelidik MARA.

“Pelajar KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) boleh terlibat dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan AI (kecerdasan buatan), IoT (internet kebendaan), robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan MARA membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem tersebut.

“Rangkaian 160 cawangan U.n.i KLINIK, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental boleh menjadi satu lagi komponen yang sangat penting dalam rasional Hospital MARA, kerana MARA sebenarnya sudah mempunyai ‘frontline healthcare network‘ (rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan barisan hadapan) melalui klinik milik usahawan profesional Bumiputera di bawah program ProSPEC,” katanya.

Katanya, cadangan penubuhan Hospital MARA ini juga merupakan kesinambungan semula jadi mandat organisasi itu bagi membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik bumiputera.

“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya MARA bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan, tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri tersebut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top