hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Ampang Jaya: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila didakwa dicabul lelaki warga asing dalam kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Setiawangsa pada 19 Ogos lalu.
Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun dipercayai didekati suspek yang menggeselkan badannya ke belakang mangsa ketika dalam tren dari Stesen Wangsa Maju menuju ke Stesen Pasar Seni melalui LRT Setiawangsa.
Difahamkan, wanita itu dipercayai beberapa kali cuba menolak lelaki berkenaan namun tidak diendahkan sebelum dia segera ke tempat lain dan membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, susulan itu, suspek ditahan Polis Bantuan Prasarana di Stesen LRT Pasar Seni pada 11.30 pagi Jumaat lalu.
“Suspek yang juga warga Bangladesh diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Suspek direman empat hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
