MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka berlangsung dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata, tempoh 60 hari perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh jentera PN dan Pas bagi memastikan parti itu mampu membuat perubahan dalam landskap politik negeri Melaka.
“Sekiranya pilihan raya berlangsung kira-kira kurang daripada dua bulan, ada sebab kenapa saya sebut dua bulan tetapi saya tidak mahu jelaskan di sini.
“Kalau kita letakkan maksimum 60 hari, jangan lihat 60 hari ini sebagai satu tempoh yang panjang. Lihatlah bahawa 60 hari ini adalah 60 hari yang akan menentukan bentuk sebuah kerajaan yang akan mentadbir negeri Melaka.
“Kerana itu, 60 hari ini adalah 60 hari yang sangat berharga,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal Negeri Melaka di sebuah hotel di sini pada malam Ahad.
Katanya, sekiranya setiap hari seorang pengundi baharu dapat diyakinkan, dalam tempoh 60 hari sebanyak 60 pengundi berpotensi menyokong parti.
“Jika perkara sama dilakukan oleh 1,000 petugas, ia mampu menyentuh puluhan ribu rakyat di negeri itu.
“Sekiranya jentera kita bergerak dengan penuh disiplin, strategi dan kesungguhan, keadaan politik di negeri Melaka ini boleh berubah dengan begitu cepat,” katanya.
Ujarnya, jentera PN juga tidak seharusnya menganggap mana-mana kawasan sebagai sukar dimenangi, sebaliknya perlu mencari pendekatan terbaik untuk menembusi kawasan berkenaan.
“Jangan sekali-kali kita mengatakan kerana kompleksiti DUN-DUN yang ada di Melaka ini memang sangat unik, ada yang begitu ‘hardcore’ di sebelah sana sehingga kita mengatakan, ‘tak payah buat apa, kawasan itu buatlah macam mana pun tak menang’.
“Sebaliknya, kita tanya pada diri sendiri dan kepimpinan negeri bersama jentera, apa lagi yang belum kita lakukan untuk membolehkan kita menang di tempat-tempat yang dilihat begitu sukar, yang nampak macam ‘impossible’?
“Tentulah ada perkara lagi yang boleh kita laksanakan. Itulah sebenarnya mentaliti pasukan yang ingin berjaya. Sentiasa bergerak walaupun satu inci dan satu inci, tetapi kita terus bergerak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyeru seluruh keluarga besar Pas dan PN di Melaka supaya tidak meminta rakyat memberikan kuasa semata-mata kerana mahu membentuk kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata, kepercayaan rakyat diperlukan bagi membolehkan PN berkhidmat dan memikul tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat Melaka.
“Kita tidak meminta rakyat memberikan kuasa kepada kita semata-mata kerana kita ingin menjadi sebuah kerajaan.
“Kita meminta rakyat memberi kepercayaan kepada kita supaya kita dapat berkhidmat dan memikul dengan penuh tanggungjawab untuk kebaikan semua yang menjadi rakyat di negeri Melaka ini,” katanya.
