Mahkamah tolak permohonan lucut hak jongkong emas, wang RM21 juta milik Aman Palestin

SHAH ALAM: Permohonan bagi melucut hak satu jongkong emas dan wang tunai RM21 juta di dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin Sdn. Bhd. (Aman Palestin) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditolak Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau meneliti kesemua afidavit serta hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak pemohon dan responden.

“Pemohon mendakwa dana derma yang dikutip bagi membantu rakyat Palestin itu diseleweng dan responden (Aman Palestin) memindahkan sejumlah wang besar kepada sebuah syarikat bagi pelaburan tunai, harta dan pembelian emas.

“Selain itu, pemohon berhujah bahawa jongkong emas yang dibeli responden merupakan hasil berkaitan kesalahan predikat iaitu Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelas beliau, SPRM selaku pemoh sebelum ini memohon perintah pelucuthakkan akaun bank itu di bawah Subseksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti 2001 (Akta 613/ AMLA).

Bagaimanapun, Latifah memaklumkan, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang di dalam semua akaun dan emas itu mempunyai kaitan dengan hasil atau aktiviti haram.

“Kesemuanya itu diperoleh secara derma dan sumbangan awam manakala pembelian jongkong dibuat secara suci hati. Justeru, pemohon gagal dalam ujian beban pembuktian imbangan kebarangkalian bagi semua permohonan itu yang ditolak mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan kemudian memohon penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah untuk menghentikan sementara pemulangan wang yang disita sementara menunggu keputusan rayuan.

Aman Palestin diwakili barisan empat peguam antaranya Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk Zamani Ibrahim.

Sebutan semula kes bagi permohonan penangguhan itu ditetapkan pada 4 September depan.

Tiga termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada 15 Februari 2024 atas 164 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, penipuan dan pecah amanah bernilai keseluruhan RM39.53 juta antara 2018 hingga 2023.

Tertuduh, Awang Suffian Awang Puit, 54, sebagai CEO dan Abdullah Zaik Abd. Rahman, 60, merupakan Pengerusi Eksekutif Aman Palestin serta Khairuddin Mohd. Ali, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun. – UTUSAN

Scroll to Top