Kerja juruteknik tak halang Mahendran lengkapkan hatrik emas SUKMA

Seri Kembangan: Kerja sebagai juruteknik penyaman udara pada waktu siang tidak menghalang atlet silambam Selangor M. Mahendran mencipta sejarah apabila melengkapkan hatrik emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Mahendran yang beraksi dalam kategori poruthal lelaki 65 hingga 75 kilogram (kg) menewaskan atlet Perak M. Tharani 15-12 di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya, Serdang Jaya di sini.

Kejayaan itu hadir selepas beliau menjalani latihan selama lapan bulan dalam keadaan terpaksa membahagikan masa antara kerjaya dan persiapan menghadapi temasya berkenaan.

Atlet berasal dari Kuala Langat yang sudah lebih setahun bekerja dalam bidang servis penyaman udara di sekitar Telok Panglima Garang itu berkata rutin hariannya cukup padat apabila perlu bekerja sehingga 6 petang sebelum terus menjalani latihan dari 7 hingga 10 malam.

“Kerja habis pukul 6 petang, saya terus pergi latihan. Latihan pukul 7 hingga 10 malam. Lepas itu, pukul 10 pagi esok pergi kerja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pertandingan.

Menurut atlet berusia 20 tahun itu, pengorbanan berkenaan berbaloi apabila beliau berjaya meraih emas, sekali gus melakar hatrik pada temasya yang disifatkannya cukup bermakna.

Beliau berkata kejayaan kali ini lebih istimewa kerana perlu berdepan pelbagai cabaran termasuk situasi protes sebelum mengesahkan diri selaku pemenang.

“Saya pun rasa takut tetapi saya yakin boleh menang dalam protes itu. Selepas dapat (keputusan protes) saya disahkan menang,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai hatrik emas yang dilakarnya berkata pencapaian itu cukup membanggakan kerana setakat ini belum ada atlet silambam lain yang berjaya melakukannya.

“Saya rasa bangga sikitlah sebab emas ini yang ketiga selepas edisi 2022 dan 2024. Tidak pernah ada sesiapa pun melakukan hatrik dalam SUKMA. Kejayaan itu turut didorong keyakinan serta kesungguhan ketika menjalani latihan,” katanya.

Terdahulu, kemenangan Mahendran ditangguhkan hampir dua jam sebelum diumumkan selaku juara.

Beliau turut menghargai sokongan ibu bapanya yang sentiasa memberikan motivasi untuk terus mengejar kejayaan meskipun perlu bekerja semasa membuat persiapan menghadapi SUKMA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top