CUIABA, Brazil: Chile menempah tempat di suku akhir Copa America selepas terikat 1-1 dengan Uruguay dalam aksi Kumpulan A, sebentar tadi.
Penyerang veteran, Eduardo Vargas meletakkan skuad La Roja di depan pada minit ke-26 sebelum Uruguay menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri Arturo Vidal pada minit ke-66.
Jaringan Vargas pada babak pertama menyaksikannya dia menyamai rekod Paolo Guerrero dari Peru dengan 14 gol dalam senarai penjaring sepanjang zaman Copa America, tiga gol di belakang pemain Brazil, Zizinho dan bintang Argentina, Norberto Mendez yang merekodkan 17 gol.
Keputusan itu membolehkan Chile mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan dan memastikan tempat ke peringkat kalah mati.
Uruguay kekal di kedudukan keempat dengan satu mata daripada dua perlawanan selepas tewas di tangan Argentina pada aksi pertama.
Kem Chile dibayangi kontroversi susulan pendedahan pemain pasukan itu melanggar protokol COVID-19 dengan membawa pendandan rambut tempatan ke hotel pasukan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd