SINGAPURA: Singapura telah melancarkan pusat data pertama di dunia yang dikendalikan secara autonomi dan menggunakan sel otak manusia untuk beberapa tugas pengkomputeran, menurut sekolah perubatan Universiti Nasional Singapura.
Sistem itu menggunakan hanya sebahagian kecil tenaga berbanding perkakasan pengkomputeran tradisional.
Neuron manusia tersebut diberi nutrien setiap tiga hari dan dikekalkan hidup menggunakan peralatan sokongan hayat khusus.
Sekolah Perubatan itu mengumumkan prototaip itu awal bulan ini dengan kerjasama pengendali pusat data berpangkalan di Singapura, DayOne dan syarikat bioteknologi Australia, Cortical Labs.
Sistem yang ditempatkan di universiti itu disifatkan pembangunnya sebagai rak pelayan bersepadu biologi pertama di dunia yang dikendalikan secara autonomi.
Kemudahan itu terdiri daripada 20 komputer biologi CL1, setiap satunya mengandungi sekurang-kurangnya 200,000 neuron manusia yang dibiakkan di makmal pada cip silikon yang dilengkapi elektrod.
Neuron tersebut berasal daripada sel darah yang diprogram semula menjadi sel stem dan berkomunikasi melalui isyarat elektrik dengan perkakasan konvensional, sekali gus menukar aktiviti neuron kepada kuasa pengkomputeran.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cortical Labs, Hon Weng Chong berkata, prototaip itu membawa pengkomputeran biologi daripada penyelidikan kepada aplikasi komersial dan berpendapat teknologi tersebut boleh melengkapi kecerdasan buatan (AI) apabila data adalah terhad serta keadaan menjadi berubah-ubah.
Beliau menyatakan potensi penggunaannya termasuk dalam penemuan ubat, robot humanoid, keselamatan siber dan pengesanan penipuan.
Berbeza dengan pusat data konvensional yang dipenuhi pelayan dan sistem penyejukan yang menggunakan banyak tenaga, komputer biologi boleh beroperasi dengan hanya sebahagian kecil penggunaan elektrik dengan memanfaatkan keupayaan pemprosesan semula jadi rangkaian neuron hidup.
Memastikan komputer tersebut terus berfungsi lebih menyerupai penyelenggaraan makmal berbanding bilik pelayan. juruteknik memberikan campuran gula, mikronutrien dan penimbal pH kepada sel-sel tersebut setiap tiga hari, manakala sistem gas membekalkan karbon dioksida, oksigen serta nitrogen – AGENSI
