Perpaduan di Perlis cukup kuat, jangan timbulkan keluh-kesah – Rozabil

ARAU: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diingatkan tidak menimbulkan keluh-kesah dengan kenyataan tidak sepatutnya berkaitan perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kenyataan pemimpin DAP itu dikhuatiri boleh mencetus ketegangan kaum, apatah lagi perpaduan di Perlis cukup kuat sejak sekian lama.

Katanya, perobohan kuil berkenaan adalah mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang sepatutnya tidak dipersoal.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kerajaan negeri ada hak untuk merobohkan kuil berkenaan yang difahamkan di atas tanah yang digazetkan untuk tujuan reakreasi.

“Isu perobohan tersebut bukan soal agama sebaliknya membabitkan peruntukan undang-undang yang wajib dipatuhi rakyat Malaysia. Rayer sebagai pengamal undang-undang sepatutnya lebih memahami perkara ini.

“Asasnya mudah sahaja, patuh kepada undang-undang. Saya rasa di Perlis sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi tidak pernah menidakkan rumah ibadat semua kaum asalkan mengikut prosedur dan undang-undang. Bila buat (kuil) tidak fikir, apabila kena roboh, marah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jumaat lalu, Rayer dalam satu kenyataan media mengutuk tindakan penguatkuasaan merobohkan kuil berkenaan.

Menerusi kenyataan itu, Rayer mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai angkuh dan rasis, selain mendakwa insiden sedemikian tidak berlaku di bawah negeri pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Rozabil mengucapkan tahniah kepada sesetengah pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan kenyataan Rayer itu.

“Semua sedia maklum, ini bukan soal agama sebaliknya berkaitan undang-undang,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil berkata, Islam mengiktiraf hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka selain melaksanakan serta memiliki rumah ibadat menurut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Katanya, namun, hak beragama tersebut tidak bermakna mana-mana pihak terkecuali daripada undang-undang.

“Semua pihak, tanpa mengira agama dan kaum, hendaklah menghormati undang-undang berkaitan pemilikan tanah, pembangunan dan pembinaan rumah ibadat.

“Prinsip ini hendaklah dilaksanakan secara adil kepada semua, sama ada melibatkan masjid, surau, kuil, tokong, gereja ataupun rumah ibadat yang lain.

“Jangan isu perobohan kuil itu sebagai bahan untuk membangkitkan sentimen agama dan kaum. Sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan melalui saluran undang-undang dan perundingan secara aman,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top