USAHA terancang, sokongan pengurusan dan pasukan yang bertanggungjawab antara faktor kejayaan sesebuah syarikat memperoleh pensijilan halal dalam tempoh yang singkat.
Mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya ia dirancang dari awal, dilaksanakan secara teratur dan mendapat sokongan penuh pihak pengurusan.
Itulah antara mesej utama yang dikongsikan Ketua Pusat Latihan, Halal Development Corporation Berhad (HDC), Ahmad Zulhilmee Hasan dalam program 9 Bulan: Rahsia Dapat Halal sempena National Training Week (NTC) 2026 di Menara Hextar, Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan Luckin Coffee mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam masa yang singkat iaitu sembilan bulan merupakan satu pencapaian yang membanggakan dalam industri halal.

AHMAD ZULHILMEE
“Kita melihat Luckin Coffee melaksanakan usaha secara bersungguh-sungguh dan terancang sehingga berjaya mendapatkan sijil halal dalam tempoh yang amat singkat.
“Semuanya berbalik kepada inisiatif, daya usaha, perancangan yang baik, pasukan yang betul dan sokongan daripada pihak pengurusan,” jelasnya.
Tambahnya, kejayaan tersebut juga menafikan tanggapan bahawa usaha mendapatkan sijil halal itu susah dan ia boleh dicapai sekiranya persediaan dilakukan dengan betul.
Halal bukan sekadar pematuhan
Ahmad Zulhilmee turut menegaskan bahawa halal tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai satu bentuk pematuhan kepada keperluan agama.
“Sebaliknya pematuhan halal turut memberikan nilai tambah dari sudut ekonomi dan pasaran khususnya bagi syarikat yang menyasarkan pengguna Islam.
“Halal bukan setakat pematuhan semata-mata. Apabila sudah patuh, kita boleh melihat manfaat ekonomi di sebalik pematuhan halal kerana kita berada dalam pasaran pengguna yang majoritinya beragama Islam.
“Apabila produk dan perkhidmatan mematuhi keperluan halal, ia lebih mudah diterima oleh pasaran majoriti Muslim,” jelasnya.
Beliau berkata, konsep halal juga berkait rapat dengan amalan pengurusan yang baik termasuk aspek kebersihan, keselamatan makanan dan amalan pengilangan yang baik.

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam program 9 Bulan: Rahsia Dapat Halal di Menara Hextar, Petaling Jaya baru-baru ini.
Malah, pematuhan halal yang dilaksanakan secara menyeluruh boleh menjadi nilai tambah kepada strategi pemasaran sesebuah syarikat.
“Halal bukan sekadar keperluan agama. Ia berada dalam lapisan amalan baik seperti Good Manufacturing Practice (GMP) dan perkara berkaitan kualiti serta keselamatan.
“Jadi apabila elemen halal digabungkan dengan amalan yang baik, ia turut memberikan nilai tambah dari sudut pemasaran,” katanya
Perkongsian buka mata industri
Menurutnya lagi, perkongsian pengalaman Luckin Coffee itu diharapkan dapat membuka mata lebih banyak syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bahawa proses mendapatkan pensijilan halal memerlukan persediaan dan perancangan yang rapi.
Katanya, antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah mendapatkan bimbingan yang betul serta membentuk pasukan yang mempunyai kefahaman berkaitan halal.
“Usaha, perancangan, bimbingan yang betul dan pasukan yang tepat adalah penting.
“Melalui sesi perkongsian seperti ini, kita mahu menunjukkan kepada khalayak dan perusahaan bahawa mendapatkan sijil halal bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya ia memerlukan persediaan yang baik,” katanya.
Program anjuran Human Resources Development Corporation dan HDC dengan kerjasama Luckin Coffee itu diadakan sempena National Training Week (NTC) 2026 bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat dan pemain industri.

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti program NTW 2026 anjuran HRD Corp dan HDC baru-baru ini.
Menurut Ahmad Zulhilmee, HDC sebelum ini terlibat melaksanakan beberapa siri latihan berkaitan halal sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kefahaman dan keupayaan syarikat dalam aspek pematuhan halal.
Katanya, HDC turut menyediakan pelbagai topik latihan halal merangkumi sektor makanan dan minuman (F&B), pengangkutan, hospitaliti serta bidang lain menerusi program dalam talian dan kerjasama dengan rakan strategik.