KUALA LUMPUR: Tiada bukti pengauditan menunjukkan berlaku sebarang kecurian atau penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sepanjang Tan Sri Dr. Madinah Mohamad menerajui Jabatan Audit Negara (JAN).
Bekas Ketua Audit Negara itu berkata, proses pengauditan dilaksanakan berdasarkan piawaian kewangan serta bukti audit sebelum sesuatu penyata atau sijil audit dikeluarkan.
Menurut beliau, sekiranya pasukan audit menemui bukti berlaku penyelewengan atau kecurian, perkara itu tidak akan disembunyikan, sebaliknya akan diketengahkan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Semasa saya Ketua Audit Negara, saya tidak nampak apa-apa bukti sedemikian seperti yang didakwa.
“Yakinlah, kalau saya dan pasukan saya menemui bukti-bukti tersebut, bukan sahaja saya tidak sembunyi, saya akan ketengahkan lagi dan saya akan laporkan kepada pihak berwajib,” katanya ketika berucap pada Musyawarah Nasional Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini hari ini.
Dalam pada itu, Madinah mendedahkan beliau pernah diminta menunggu sebelum memuktamadkan sijil audit TH bagi penyata kewangan 2017.
Menurut beliau, pasukan audit pada asalnya bercadang mengeluarkan sijil audit berteguran selepas beberapa isu dikenal pasti dalam proses pengauditan.
Katanya, hasrat itu kemudian dimaklumkan kepada Perdana Menteri ketika itu sebelum beliau diminta menunggu sementara perkara berkenaan dibincangkan.
“Saya akan maklum kepada Perdana Menteri. Itu tanggungjawab saya untuk memaklumkan,” katanya.
Madinah berkata, beliau kemudiannya kembali ke pejabat dan berbincang dengan pasukan audit sebelum memutuskan untuk mengeluarkan sijil bersih dengan penekanan perkara atau Emphasis of Matter (EOM).
“Jadi saya balik ke pejabat, saya berbincang dengan pasukan audit dan membuat keputusan bahawa kita akan mengeluarkan sijil bersih tetapi dengan penekanan perkara atau Emphasis of Matter.
“Sekali lagi, ia atas pertimbangan kepentingan negara. Kerajaan ketika itu baru berusia dua atau tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan audit ketika itu tidak mengetepikan isu yang ditemui malah pada peringkat teknikal telah mencadangkan supaya sijil audit berteguran dikeluarkan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir menggunakan EOM dibuat olehnya sendiri selaku Ketua Audit Negara selepas mengambil kira keseluruhan bukti audit, piawaian berkaitan serta pertimbangan profesional.
“Maka, keputusan untuk menggunakan pendekatan Emphasis of Matter adalah keputusan profesional yang dibuat oleh saya selaku Ketua Audit Negara sebagai pihak berkuasa muktamad dalam menentukan bentuk dan kandungan laporan pengauditan.
“EOM membolehkan perkara penting tersebut diketengahkan secara jelas dan terus kepada Parlimen dan rakyat tanpa mengubah pendapat keseluruhan penyata kewangan,” katanya. – UTUSAN

