Nibong Tebal: “Apabila bangun pagi, fikir perkara yang boleh kita lakukan untuk mempermudah masyarakat”, antara prinsip yang menjadi pegangan bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long sepanjang 34 tahun dalam perkhidmatan awam.
Zulkifli, 60, yang menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang tadi berkata, prinsip itu juga sering ditekankan kepada pegawai di bawah seliaannya sepanjang berkhidmat sebagai pentadbir.
“Walaupun saya sudah tidak bertugas, insya-Allah sekiranya ada rakan-rakan yang memerlukan bantuan, saya akan cuba memberikan pandangan setakat dan semampu mungkin berdasarkan pengalaman saya di Pulau Pinang selama hampir 34 tahun,” katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan di sini, pagi tadi.
Zulkifli menerima sijil penghargaan, plak, hadiah iringan serta wang tunai RM7,000 yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Bapa kepada dua anak itu turut menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu kejutan dan rezeki selepas bersara kerana sepanjang bergelar pentadbir, beliau hanya berusaha melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.
Mengenai perancangan selepas persaraan, Zulkifli berkata buat masa ini beliau mahu berehat dan meluangkan lebih banyak masa bersama-sama isteri serta anak-anak selepas sekian lama memberikan tumpuan kepada kerjaya.
Beliau berkata masih belum memikirkan hala tuju seterusnya dan mahu menikmati tempoh rehat bersama keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perancangan baharu.
Anak jati Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara itu menyertai perkhidmatan awam pada Jun 1992 di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan terlibat secara langsung dalam penubuhan Pusat Urus Zakat pada 1994, yang kini dikenali sebagai Zakat MAINPP.
Beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai jabatan termasuk sebagai Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri Pulau Pinang dan dilantik sebagai SUK Negeri Pulau Pinang pada September 2025.
Dalam majlis itu, Pengarah Urusan RCAB Food Venture Sdn Bhd Rohaya Che Abu Bakar menerima pengiktirafan sebagai Qudwatur Rasul (Usahawan); Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Muhammad Adam Abdullah pula sebagai Qudwatur Rasul (Saudara Kita) dan Ketua Pegawai (Penyelidik) Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang Mohd Salmi Shaimi dipilih sebagi Qudwatur Rasul (Khas).
© New Straits Times Press (M) Bhd

