PEKAN: “Impian saya untuk menubuhkan yayasan bagi membantu pelajar madrasah dan pelajar miskin menyambung pengajian ke peringkat universiti,” kata pengasas Madrasah Darul Hidayah Al-Islamiah, Datuk Norzan Ahmad.
Beliau kini dalam proses menubuhkan sebuah yayasan kebajikan dan pendidikan bagi memastikan madrasah yang ditubuhnya terus ‘hidup’ walaupun selepas ketiadaannya.
Lebih daripada itu, bekas Pegawai Kewangan Negeri Pahang berusia 72 tahun berkenaan mahu yayasan itu turut membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke universiti, termasuk membiayai yuran pengajian mereka.
“Tujuan utamanya membiayai madrasah saya supaya bila saya mati nanti, madrasah ini berterusan. Kalau ada pelajar yang tidak mampu masuk universiti, bayar yuran dan sebagainya, mungkin yayasan ini boleh bantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pahang 1448/2026 di Dewan Konvokesyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Menurut Norzan, yayasan itu kini dalam proses pendaftaran dan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh kira-kira setahun, manakala beliau sudah mendapatkan khidmat nasihat setiausaha syarikat berhubung proses berkenaan.
Katanya, madrasah yang ditubuhkan pada 2016 itu menggunakan bangunan masjid lama Kampung Senggora yang berusia kira-kira 100 tahun dan pernah dibina secara gotong-royong penduduk kampung menggunakan kayu balak dari hutan.
“Bila saya bersara, saya tengok keadaan masjid itu sudah tertinggal sebab sudah ada masjid baharu. Macam-macam rosak, jadi saya mohon untuk gunakan bangunan itu sebagai madrasah,” katanya.
Beliau berkata, madrasah berkenaan kini mempunyai 13 pelajar dari beberapa negeri termasuk Pahang dan Kedah, manakala sebelum ini pernah menempatkan sehingga 25 pelajar yang sebahagiannya sudah menamatkan hafazan dan syahadah.
Norzan yang berkhidmat selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam sebelum bersara pada 2014 berkata, beliau tidak pernah menjangka dipilih menerima anugerah berkenaan selepas 12 tahun meninggalkan perkhidmatan.
“Saya tidak menyangka. Ini semua rezeki Allah SWT. Saya hanya bersyukur kerana selepas 12 tahun bersara, saya dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul. Saya tahu tiga atau empat hari lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Allahyarham Sheikh Hussein Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pok Kob yang juga pengasas Pondok Raudhah Al-Muhibbin, Chenor, Maran diumumkan sebagai penerima Anugerah Ummah, manakala dua bekas pengetua, S. Mahzir S. Nordin, 64, dan Mustafa Abdul Jabar, 81, masing-masing menerima Anugerah Daie dan Anugerah Pendidikan. – UTUSAN
