KUALA LUMPUR – Isu penyatuan ummah serta kerjasama politik antara Pas dan UMNO antara usul utama yang bakal dibincangkan pada Muktamar ke-72 yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 September ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara berkenaan antara yang dijangka diberi perhatian dalam muktamar berkenaan, selain ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada majlis perasmian.
“Perasmian ini hanya mendengar ucapan dasar daripada Presiden Pas.
“Tetapi ada banyak usul dan saya rasa salah satu yang pastinya ialah penyatuan ummah dan juga gabungan antara kerjasama politik Pas dan UMNO, itu salah satu usul yang wajib akan ada,” katanya ketika ditemui selepas program Musyawarah Nasional ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ di sini pada Selasa.
Mengenai kehadiran UMNO pada muktamar berkenaan pula, Takiyuddin berkata, setakat ini terdapat wakil yang akan hadir, namun nama mereka belum dimaklumkan kepadanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) memaklumkan rundingan antara PN dan BN berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.
Ujarnya, rundingan berkenaan bagaimanapun berada pada perkembangan yang positif.
“Kita sudah memulakan rundingan tapi belum muktamadkan lagi. Masih di peringkat rundingan untuk menentukan apa kaedah cara yang kita hendak.
“(Rundingan) itu sangat positif. Saya boleh katakan itu,” jelasnya.
Ditanya mengenai jumlah kerusi yang mungkin diperuntukkan sekiranya BN bergabung dengan PN pada PRN Melaka, Takiyuddin berkata perkara itu masih dalam proses rundingan. – Awani
