Kuala Lumpur: Siasatan berhubung kematian pelajar perempuan berusia 14 tahun di Setapak, di sini, pada 18 Ogos lalu membawa kepada penahanan teman lelaki ibunya bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes berasingan itu yang membabitkan kakak mangsa berusia 15 tahun.
“Kes itu disiasat (gangguan seksual) susulan siasatan polis berhubung kematian remaja perempuan berusia 14 tahun berkenaan.
“Kita membuka satu kertas siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Fadil berkata, suspek kini direman tujuh hari sehingga 31 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di Setapak disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Polis kemudian membuka Laporan Mati Mengejut (SDR) berhubung kematiannya.
Susulan kematian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima satu lagi laporan daripada ibu mangsa pada 7.49 malam, 19 Ogos lalu berhubung dakwaan buli terhadap anaknya.
Untuk itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan.
Seksyen 507B Kanun Keseksaan adalah peruntukan berkaitan kesalahan buli, termasuk perbuatan atau komunikasi bersifat mengancam, menghina atau mencela yang menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada seseorang.
Kes kematian remaja itu mendapat perhatian selepas tular di media sosial mengenai dakwaan kemungkinan mangsa berdepan buli secara verbal termasuk kata-kata berunsur perkauman.
Mengulas perkembangan siasatan kematian remaja terbabit, Fadil berkata, kira-kira 90 keterangan individu sudah diambil polis membabitkan guru, pelajar, keluarga dan saksi lain.
“Siasatan kes ini masih dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


