SHAH ALAM – Ahli Bersatu Masjid Tanah, Mohd Rodzi Mat Rejab (pemilik akaun Facebook Chey Rodzi) membuat permohonan maaf kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung kenyataan fitnah berkaitan Tabung Haji.
Kenyataan permohonan maaf itu dikongsi Hamzah menerusi hantaran Facebook miliknya pada Selasa.
Mohd Rodzi dalam kenyataan itu memaklumkan beliau menerima surat tuntutan (LOD) dua muka surat dan sembilan perenggan daripada Tetuan Siddiq Azani & Co pada 12.50 pagi, 25 Ogos.
Melalui LOD tersebut, Mohd Rodzi diminta untuk memadam posting berkenaan serta membuat permohonan maaf atas kenyataan yang telah disiarkan.
Mohd Rodzi turut mengakui bahawa posting yang dipadam sebelum ini dibuat berdasarkan maklumat tanpa mendapatkan pengesahan yang sewajarnya.
Menurutnya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kenyataan yang ditulis dan tidak berniat untuk menjatuhkan maruah, nama baik atau kredibiliti sesiapa.
“Posting yang telah saya padam sebelum ini yang mengandungi kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap beliau.
“Untuk penjelasan, posting tersebut saya buat menggunakan gambar yang diambil daripada akaun media sosial lain.
“Namun begitu, saya mengakui bahawa saya tetap bertanggungjawab terhadap kandungan dan kenyataan yang saya tulis bersama posting tersebut,” ujarnya.
Tambah Mohd Rodzi, permohonan maaf itu dibuat dengan ikhlas serta atas rasa menghormati proses perundangan yang masih berjalan.
“Saya memohon maaf kepada Hamzah Zainudin atau mana-mana pihak yang terkesan, terasa dan tersinggung dengan posting berkenaan dan menyerahkan segala perkara berkaitan kepada pihak berkuasa (Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Sebagainya).
“Saya berharap proses yang sewajarnya diambil, dan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului proses tersebut,” jelasnya.
