am@hmetro.com.my
Kota Belud: Seorang pelajar maut dilanggar lori ketika cuba menyelamatkan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Jawi-Jawi, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian 6.43 petang itu, Muhammad Safwan Muad, 16, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Khairul Shah Peri berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari Kota Marudu menuju Tuaran.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego bersama pembonceng berusia 15 tahun pula dalam perjalanan dari arah Sembirai ke Kudat.
“Ketika tiba di lokasi dalam keadaan hujan, motosikal dinaiki kedua-dua remaja itu dipercayai terbabas di laluannya.
“Selepas terjatuh, pembonceng motosikal bangun dan bergerak menuju ke bahu kiri jalan, manakala penunggang dipercayai berlari ke arah laluan lori,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori dipercayai gagal mengelak mangsa berikutan jarak terlalu dekat sebelum pelajar berkenaan dilanggar.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Hospital Kota Belud, manakala pembonceng dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Khairul Shah berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
