KESS lancar cawangan ke-23, meterai MoU bersama PRISMA perkukuh program kebajikan

Kuala Lumpur : Bagi memperkukuh pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan komuniti, Kedai Emas Sri Semantan (KESS) menjalinkan kerjasama strategik dengan Pertubuhan Ibu Bapa Anak Anak Istimewa Malaysia (PRISMA).

KESS menerusi Pengerusi Eksekutif, Mohamad Hafizal Mahmood manakala PRISMA diwakili Pengerusinya yang juga pelakon dan pengarah terkenal, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh tiga tahun demi memperkasa kesejahteraan anak-anak istimewa di seluruh negara.

Kerjasama berkenaan merangkumi pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara lebih komprehensif yang memfokuskan kepada kebajikan keluarga anak istimewa, warga komuniti memerlukan serta Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Melalui MoU berkuat kuasa serta-merta ini, KESS bertindak menyalurkan dana CSR, sokongan strategik, serta memanfaatkan platform korporat mereka bagi meningkatkan kesedaran awam.

Menurut Mohamad Hafizal kerjasama berkenaan tidak terhad kepada sumbangan kewangan semata-mata, sebaliknya membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai program bersama.

“Tidak hanya membabitkan perniagaan emas sebelum ini kami turut menyertai pelbagai perkara antara komuniti, kebudayaan dan sukan dan kini membabitkan program kebajikan pula.

“Melalui MOU ini, kita bukan hanya melihat kepada sumbangan kewangan, tetapi turut membuka ruang untuk melaksanakan program bersama seperti kem dan aktiviti yang memberi manfaat kepada kumpulan sasaran,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pembukaan cawangan ke-23 KESS di Wangsa Maju, Ahad lalu.

Cawangan ke-23 beri pilihan kepada pelanggan

Menurut Mohamad Hafizal pembukaan cawangan ke-23 daripada 30 cawangan sedia ada itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, KESS memberi tumpuan kepada kepelbagaian produk menerusi pengeluaran barang kemas sendiri di kilang emas milik syarikat di Puncak Alam.

“Di kilang kita menghasilkan pelbagai produk termasuk barang kemas dengan ukiran khas, tempahan mengikut kehendak pelanggan, wafer dan gold coin.

“Kami juga mempunyai pelbagai pilihan barang kemas termasuk produk yang digunakan dan diolah semula supaya kelihatan seperti baharu. Tujuan kita adalah menggalakkan orang ramai membeli dan memiliki emas pada harga berpatutan,” katanya.

Nafi dakwaan scammer

KESS menafikan dakwaan yang melabelkan syarikat mereka sebagai scammer berikutan isu tular mengenai program simpanan dan “Special Trade-In” (STI).

Pengarah Pembangunan Perniagaan KESS, Datuk Nasarudin Mohamed Tahir berkata, pihaknya menyedari wujud persepsi dalam kalangan sesetengah masyarakat mengaitkan KESS dengan dakwaan sebagai ‘scammer’.

Katanya, persepsi itu bukan sahaja datang daripada orang luar, malah pernah timbul dalam kalangan individu yang baharu mengenali konsep perniagaan KESS.

“Kami faham apabila kita melakukan sesuatu yang berbeza dan berkembang dengan cepat, pelbagai persepsi timbul.

“Namun, KESS adalah satu ekosistem perniagaan emas yang merangkumi kedai emas, kilang emas di Puncak Alam serta Sri Semantan Lifestyle,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya tidak menganggap model perniagaan yang diamalkan sebagai pemasaran berbilang aras, sebaliknya menyifatkannya sebagai ekosistem yang menghubungkan pengeluaran, pengedaran dan jualan emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top