Gajah jantan cedera di JRTB, PERHILITAN pantau dua kali sehari

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak menjalankan pemantauan berterusan berhubung kehadiran gajah liar jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu.

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, dalam kenyataan berkata, hasil pemantauan awal mendapati mamalia berkenaan mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan.

“Bagaimanapun, keadaan fizikal dan tingkah lakunya adalah normal serta masih mampu makan dan bergerak dengan baik.

“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil tindakan mengiring gajah berkenaan kembali ke kawasan hutan serta terus melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya di lapangan.

“Memandangkan mamalia itu masih kerap kembali ke kawasan jalan raya, operasi pemantauan dan kawalan ditingkatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Pemantauan dan tindakan mengiringi akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam.

“Jabatan PERHILITAN turut memperkukuh kesiapasiagaan anggota di lapangan termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan,” katanya.

Katanya, sebagai langkah pencegahan awal, pengguna jalan raya khususnya yang melalui laluan JRTB dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

“Pengguna JRTB, khususnya di sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa, dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan, khususnya dalam lingkungan 5 kilometer sebelum tiba di Hentian R&R Titiwangsa dari kedua-dua arah,” katanya.

Selain itu, orang awam juga diminta memberi kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan penguat kuasa dan petugas Jabatan PERHILITAN sekiranya berada di kawasan pemantauan.

“Pengguna diminta tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah juga adalah ditegah sama sekali di sepanjang JRTB,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top