Linz: Jaringan Samuel Adeniran 11 minit sebelum tamat masa tambahan melengkapkan kebangkitan menakjubkan LASK dari Austria untuk mara ke peringkat liga Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menyingkirkan Celtic.
Ketinggalan 0-3 daripada aksi pertama, LASK berdepan defisit 0-4 secara agregat pada pertengahan babak pertama selepas Callum McGregor meledak gol untuk Celtic.
Namun, pemain tengah Nigeria, Moses Usor menghidupkan harapan LASK menerusi gol sebelum rehat.
Gol Robert Ljubicic, penyerang Amerika Syarikat, Adeniran dan Florian Flecker pada masa kecederaan menerusi rembatan jarak dekat memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Adeniran kemudian meletakkan LASK di depan pada separuh masa kedua masa tambahan dan berpeluang melengkapkan hatrik, namun sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Finland, Viljami Sinisalo.
Selepas menamatkan saingan di tempat kedua tercorot peringkat liga Liga Konferensi Europa musim lalu, LASK kini bakal beraksi di peringkat liga Liga Juara-Juara buat kali pertama
manakala Celtic terpaksa meneruskan kempen Eropah mereka dalam Liga Europa musim ini.
“Kami dapat apa yang kami layak. Kami terlalu pasif sepanjang aksi dan kelihatan takut untuk pergi dan memenangi perlawanan,” kata McGregor kepada televisyen Amazon Prime.
“Kami perlu menerimanya. Kami memohon maaf kepada penyokong dan kelab kerana tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan ini.”
Sementara itu di Baku, penyerang Gabon, Orphe Mbina, menjaringkan gol penentu ketika Sabah dari Azerbaijan bangkit menewaskan Hapoel Beer-Sheva untuk mencipta sejarah mara ke peringkat liga Liga Juara-Juara buat kali pertama.
Ketinggalan 1-2 daripada aksi pertama, Sabah kemudian ketinggalan 0-1 dan 1-2 di laman sendiri sebelum jaringan Tellur Mutallimov pada masa kecederaan memaksa perlawanan ke masa tambahan.
Mbina dan pemain antarabangsa Rwanda, Joy-Lance Mickels, kemudian menjaringkan gol untuk membantu Sabah menang 5-2 pada aksi kedua dan 6-4 secara agregat.
Hapoel menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas pertahanan Senegal, Djibril Diop, dan pemain tengah Israel, Eliel Peretz, dilayangkan kad merah pada masa tambahan.
Kelab Norway, Bodo/Glimt, pula mara ke peringkat liga buat musim kedua berturut-turut selepas menewaskan NEC Nijmegen yang beraksi dengan 10 pemain, 2-0.
Penjaga gol NEC, Gonzalo Crettaz, dilayangkan kad merah selepas hanya tiga minit permainan.
Bodo/Glimt yang mara ke pusingan 16 terakhir musim lalu selepas mencipta kejutan menewaskan Manchester City, Atletico Madrid dan Inter Milan, menang 3-0 pada aksi kedua hasil jaringan Fredrik Andre Bjorkan, Sondre Auklend serta gol sendiri Deveron Fonville, sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 6-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd


