BUKIT MERTAJAM: Warga Politeknik Seberang Perai (PSP) di sini mempunyai cara yang tersendiri untuk menterjemahkan semangat patriotisme mereka sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Salah satu daripada cara tersebut ialah menerusi pemasangan dekoratif unik bertulis ‘MERDEKA 69’ di pintu gerbang utama institusi itu.
Menurut PSP, inisiatif hasil cetusan idea Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSP, Ts. Mohamad Annuar Morzuke itu dianggap unik kerana ia menggabungkan dua elemen iaitu teknologi dan kelestarian dalam satu reka bentuk.
Katanya, huruf-huruf dekoratif ‘MERDEKA 69’ dihasilkan dengan menggunakan teknologi pemotongan laser bagi memastikan ketepatan, kekemasan dan kualiti kemasan manakala sistem pencahayaan pula menggunakan tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau.
“Penghasilan projek ini turut memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam situasi sebenar, bermula daripada idea, reka bentuk digital, proses fabrikasi, pemasangan sehingga pembangunan sistem pencahayaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini.
Difahamkan, inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bukan sahaja bermatlamat untuk menceriakan persekitaran institusi, malah, bertujuan mengetengahkan aplikasi ilmu, kemahiran dan teknologi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai patriotik.
Sementara itu, Mohamad Annuar berkata, projek tersebut menjadi platform memperkukuh kemahiran insaniah pelajar seperti kerja berpasukan, kreativiti, penyelesaian masalah dan pengurusan projek, selain menyemai semangat kesukarelawanan serta kecintaan kepada negara.
“Pemasangan dekoratif seperti ‘MERDEKA 69’ yang kini menghiasi pintu gerbang utama PSP diharap dapat menjadi simbol bahawa generasi TVET bukan sahaja menguasai teknologi, malah mampu menggunakan kepakaran tersebut untuk menyumbang kepada institusi, masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN


