surayaroslan@mediaprima.com.my
Putrajaya: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh baharu pendengaran rayuan seorang bekas majistret yang mencabar hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1.05 juta terhadapnya.
Ia selepas dia didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.
Penangguhan itu dibuat selepas peguam Nor Shahid Abd Malik yang mewakili perayu, Mohamad Amin Shahul Hamid, 45, dilihat gagal menjawab beberapa soalan dikemukakan panel hakim mengenai isu yang dibangkitkan bagi membuktikan sabitan dan hukuman ke atas anak guamnya tidak selamat.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy membenarkan permohonan penangguhan itu bagi memberi peluang kepada pihak pembelaan membuat persediaan sewajarnya.
“Kamu (peguam) nampak tidak bersedia, sedangkan ini rayuan terakhir anak guam kamu,” kata Muniandy.
Terdahulu, Nor Shahid mengemukakan hujahan berhubung rayuan itu, namun beberapa persoalan penting gagal dijawab menyebabkan beberapa panel hakim menegurnya dan mengingatkannya supaya meyakinkan panel yang mendengar rayuan itu berikutan ia adalah rayuan akhir.
Nor Shahid berkata, dia baru mengambil alih kes berkenaan di peringkat rayuan dan memohon prosiding hari ini ditangguhkan bagi memberinya masa untuk meneliti semula hujahan bertulis.
Bagaimanapun, permohonan penangguhan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin atas alasan kes berkenaan sudah beberapa kali ditangguhkan.
“Saya bukan tiada perikemanusiaan Yang Arif, tetapi kes ini sudah beberapa kali ditangguh.
“Mungkin pihak peguam boleh diberi masa selama satu jam untuk bersedia,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan penangguhan itu dengan mengambil kira bahawa prosiding berkenaan adalah peluang terakhir perayu untuk mengemukakan rayuannya.
Pada 17 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang mengekalkan hukuman penjara selama 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap Mohamad Amin selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 2022.
Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan yang perlu dijalaninya adalah selama 12 tahun.
Mohamad Amin, yang ketika kejadian bertugas sebagai majistret di Mahkamah Lipis dan Raub didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000.
Dia kemudiannya menerima suapan RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Mohamad Amin hanya mengenakan hukuman denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup dalam kes yang dikendalikan oleh perayu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




