PRN Melaka: 15 agenda Lim Ban Hong

PRN Melaka: 15 agenda Lim Ban Hong

Melaka: Penyelesaian masalah banjir kilat, usaha menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan antara agenda utama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Manifesto menggariskan tiga teras utama dengan 15 fokus pembangunan merangkumi aspek infrastruktur dan pembangunan, ekonomi dan peluang serta kesejahteraan dan masa depan komuniti.

Lim Ban Hong yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, enam fokus di bawah teras pertama memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur.

Ini termasuk meningkatkan keselamatan lalu lintas, melancarkan aliran trafik bagi mengatasi kesesakan serta mempercepatkan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir.

Menurutnya, usaha menangani masalah banjir kilat turut diberi keutamaan berikutan beberapa kawasan di Klebang dikenal pasti sebagai lokasi panas yang sering berdepan masalah berkenaan.

“Antara langkah yang sedang dilaksanakan ialah lima projek penambahbaikan RTB membabitkan peruntukan kira-kira RM1.3 juta, termasuk pengukuhan tebing Sungai Seberang Gajah, penstabilan tebing dan pembinaan ban pasir di Sungai Air Salak.

“Kerja mendalamkan kolam takungan air serta membaiki longkang di Taman Rambai Indah turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat,” katanya.

Ban Hong yang juga Pengerusi MCA Melaka berkata, manifesto itu turut memberi penekanan kepada usaha menaik taraf paip air bagi menangani masalah tekanan air rendah di kawasan perkampungan dan taman perumahan.

“Dua lagi fokus di bawah teras infrastruktur ialah penambahbaikan kemudahan jeti nelayan di Klebang Besar dan Sungai Lereh, khususnya bagi menangani masalah mendapan pasir di muara sungai.

“Selain itu, pembinaan semula Jambatan Stulang Daeng di Pulau Gadong juga akan dipantau,” katanya.

Bagi teras kedua, empat fokus digariskan dengan tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan, termasuk memacu pembangunan Bandar Baharu Klebang dalam zon ekonomi khas Selat Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) serta meneruskan pembangunan Klebang Walk Fasa 2 sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

Manifesto itu turut memberi perhatian kepada usaha mempromosikan produk tempatan menerusi pembangunan agro-pelancongan dan eko-pelancongan, selain menarik pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan ekonomi kawasan berkenaan.

Usaha menarik pelaburan itu disasarkan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, sekali gus membolehkan masyarakat setempat menikmati manfaat daripada perkembangan ekonomi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, lima fokus di bawah teras ketiga merangkumi pembangunan projek perumahan mampu milik bagi membantu golongan muda dan keluarga yang memerlukan, meningkatkan akses serta kualiti perkhidmatan kesihatan dan menambah baik infrastruktur sukan.

Teras itu turut memberi perhatian kepada peluasan peluang pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan bakat generasi muda bagi mempersiapkan mereka menghadapi keperluan pasaran pekerjaan.

Ban Hong berkata, projek Sistem Pengairan Bukit Rambai bernilai RM43.5 juta, yang dijangka bermula awal tahun depan dan siap pada 2029, turut menjadi antara keutamaan bagi memperkukuh sektor pertanian di kawasan itu.

“Projek berkenaan akan meliputi kawasan tanaman padi sawah serta pertanian lain di DUN Klebang, manakala proses pengambilan tanah bagi laluan tali air sudah dimulakan,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, Ban Hong memenangi kerusi DUN Klebang dengan memperoleh 5,028 undi, menewaskan calon PKR, Datuk Gue Teck, yang mendapat 4,152 undi dan calon PN, Bakri Jamaluddin, dengan 3,884 undi.

Pada PRN kali ini, beliau dicabar tiga calon lain, iaitu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada BERSATU, Farzana Hayani Mohd Nasir daripada Pakatan Harapan dan Young Jie Yu daripada BERSAMA.

Pengundian awal PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top