Smart Melaka, ekonomi belia tawaran ‘Melaka Rumah Kita’

Smart Melaka, ekonomi belia tawaran ‘Melaka Rumah Kita’

MELAKA: Transformasi Melaka sebagai negeri pintar, memperluas peluang ekonomi golongan muda dan memperkasa industri pelancongan menjadi tiga keutamaan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan hari ini untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tiga keutamaan itu turut disokong 12 aspirasi lain yang dirangka berdasarkan keperluan dan isu dibangkitkan rakyat Melaka melalui siri pertemuan bersama masyarakat.

“Melalui aspirasi ‘Melaka Rumah Kita’, tiga teras penting yang kita kemukakan adalah yang pertama tentang Smart Melaka, di mana kita tahu bahawa keperluan dunia pendigitalan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) adalah satu keperluan masyarakat kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan sahaja kepada golongan dewasa tetapi kepada seluruh golongan kerana ia melibatkan banyak perkara sama ada dari segi ekonomi, mempertingkatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan mutu pengetahuan kita.

“Yang kedua, membuka lebih banyak peluang kepada anak muda, di mana kita mencadangkan kita memperuntukkan 30 peratus daripada kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada golongan belia dan beliawanis,” katanya ketika melancarkan aspirasi Melaka Rumah Kita di sini, hari ini.

Menurut Adly, keutamaan ketiga adalah memartabatkan industri pelancongan dengan sasaran menarik sehingga 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032.

“Fokus keutamaan kita adalah memartabatkan industri pelancongan Melaka kerana kita tahu bahawa mengupayakan industri pelancongan akan dapat memberikan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.

PH turut menggariskan 12 aspirasi yang memberi penekanan kepada keperluan rakyat termasuk menyediakan peluang memiliki atau menyewa rumah yang selesa melalui skim perumahan mesra rakyat.

Katanya, PH juga mahu mewujudkan kerajaan yang mesra, cekap dan responsif dengan mempermudah prosedur serta mempercepatkan urusan dan sistem penyampaian perkhidmatan.

Jelasnya, PH akan memberi tumpuan kepada penyediaan pekerjaan berkualiti dengan peluang pendapatan lebih baik, khususnya kepada golongan muda.

Bagi memperkasa wanita, PH menawarkan geran khas kepada peniaga wanita serta penambahan pusat jagaan kerajaan bagi membantu golongan wanita berkerjaya.

Aspirasi lain termasuk memudahkan akses modal kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan, kebajikan rakyat dan menyediakan infrastruktur serta kemudahan awam lebih baik serta menangani kesesakan lalu lintas menggunakan teknologi AI di kawasan tumpuan trafik.

Adly berkata, PH juga akan memperkasakan syiar Islam dan institusi agama, memastikan kerajaan bersih, telus, dan berintegriti serta manfaatkan tanah terbiar diubah menjadi rezeki kepada rakyat dan mengembalikan dasar tanah negeri.

Aspirasi terakhir pula memberi penekanan kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk, termasuk menghormati kebebasan beragama serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil dan inklusif.

Ujarnya, PH akan mengadakan beberapa lagi forum dan program bagi memperincikan aspirasi berkenaan supaya tawaran tersebut dapat dibincangkan bersama rakyat.

HABIS///

ADLY Zahari (tengah) bersama kepemimpinan PH menunjukkan tawaran Melaka Rumah Kita dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH, Kompleks Perniagaan Musai Jaya, Melaka.

Scroll to Top