Pendakwah bebas didakwa pecah amanah, pengubahan wang haram

SEREMBAN: Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh media sosial didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah wang milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13 juta.

Tertuduh, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah juga didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM1.56 juta.

Beliau bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan yang mengambil masa lebih sejam.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Abdullah didakwa secara tidak jujur melepaskan harta berkenaan dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM),yang menetapkan cara amanah tersebut perlu disempurnakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan meluluskan pembayaran wang berkenaan ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.-UTUSAN

Scroll to Top