am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Ibu, abang sayang ibu… abang sayang ibu… semua abang sayang.”
Itu nota suara terakhir yang diterima Siti Nasuha Mohd, 32, daripada anaknya, Rehan Yusuf, 9, sebelum kanak-kanak itu maut bersama bapanya dalam kebakaran rumah di Kampung Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi.
Siti Nasuha yang juga bekas isteri arwah, Amirulfahmi Wan Jusoh, 40, dan bekerja di Kuala Lumpur berkata, anak tunggalnya itu membuat panggilan video pada jam 7.28 malam semalam, namun dia tidak sempat menjawab.
Katanya, dia kemudian menerima nota suara melalui Aplikasi WhatsApp daripada Rehan sebelum membalasnya kira-kira jam 12 tengah malam dengan mesej, “Ibu sayang abang.”
“Saya kemudian cuba hubungi Rehan selepas itu tetapi dia tidak jawab. Mungkin dia sudah tidur.
“Biasanya kami berhubung setiap hari sebelum jam 11 malam. Malam itu, bekas suami juga WhatsApp saya sebanyak tiga kali bertanyakan sama ada saya sudah pulang kerja atau belum.
“Tidak sangka itu menjadi komunikasi terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Tok Jembal, di sini, hari ini.
Siti Nasuha berkata, dia menerima panggilan daripada kakaknya memaklumkan rumah bekas mentuanya terbakar sebelum dimaklumkan Rehan bersama bapanya berada di tingkat atas dan tidak dapat menyelamatkan diri.
“Sebaik menerima panggilan itu, saya terus menghubungi Izzah (isteri arwah) dan bertanyakan sama ada Ude (panggilan kepada bekas suami) dan Rehan ada bersamanya atau tidak sebelum Izzah memberitahu mereka berada di rumah ibu.
“Saya kemudian bergegas pulang ke Terengganu dengan memandu seorang diri dari Kuala Lumpur kira-kira jam 4 pagi dan tiba di Tok Jembal kira-kira jam 8.15 pagi tadi,” katanya.
Siti Nasuha berkata, kali terakhir dia bertemu Rehan bulan lalu dan mereka sentiasa berhubung melalui panggilan video.
“Rehan sangat rapat dengan ayahnya, macam belangkas. Ke mana saja ayahnya pergi, dia ikut. Mereka memang tidak pernah berenggang,” katanya.
Sementara itu, isteri arwah, Nur Izzah Ahmad, 36, berkata dia masih terkejut dengan kejadian itu, apatah lagi baru sebulan kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.
Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah ibunya di Kampung Paloh, Kuala Terengganu bersama bayinya, Raes Yusuf, 3 bulan.
“Arwah ada minta saya cuti hari ini kerana baru sebulan habis pantang.
“Arwah juga sudah merancang untuk tinggal bersama ibunya bulan depan. Hampir semua barang sudah dibawa ke rumah ibunya,” katanya.
Menurutnya, arwah juga sedang melakukan kerja pengubahsuaian dan hampir siap sebelum arwah bercadang berpindah ke situ bersama keluarga.
“Sebelum ini, saya bersama suami dan anak (Rehan) tinggal di rumah ibu saya di Kampung Paloh.
“Rehan pula anak yang aktif dan kuat merajuk. Dia juga sangat rapat dengan ayahnya,” katanya.
Jenazah dua beranak itu dijangka disolatkan di Masjid Jamek Tok Jembal dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Kampung Tok Jembal selepas selesai proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd

