SJPP angkat budaya ‘kepoh’ sempena Hari Kebangsaan

SJPP angkat budaya ‘kepoh’ sempena Hari Kebangsaan
SJPP angkat budaya ‘kepoh’ sempena Hari Kebangsaan

SHAH ALAM – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) melancarkan kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Kisah ‘Kepoh Bisnes’, bagi mengangkat budaya ‘kepoh’ dari sudut berbeza sebagai tanda keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kempen bertemakan ‘Malaysia Kita, Impian Bersama’ itu mengetengahkan kisah seorang usahawan muda, Aishah yang dilakonkan Aishah Azman, dalam mengharungi cabaran mengembangkan perniagaan inap desanya.

Pegawai Utama SJPP, Juanita Rusmini Abdul Jalil berkata, Kisah ‘Kepoh Bisnes’ meraikan cara unik rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan dengan mengambil tahu, melibatkan diri dan menyokong impian antara satu sama lain.

“Di SJPP, kami percaya kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya bergantung kepada pembiayaan semata-mata, tetapi turut didorong oleh kepercayaan dan sokongan daripada orang di sekeliling kita.

No Image Caption

“Menerusi Kisah ‘Kepoh Bisnes’, kami mahu meraikan satu sifat unik rakyat Malaysia yang mencerminkan semangat untuk sentiasa mengambil berat antara satu sama lain, di samping memperkukuh komitmen SJPP dalam membantu usahawan mendapatkan akses kepada pembiayaan untuk merealisasikan aspirasi mereka,” katanya.

Menurutnya, tema ‘Malaysia Kita, Impian Bersama’ membawa kepercayaan bahawa apabila rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan komuniti saling berganding bahu, lebih banyak peluang dapat diwujudkan, selain membantu membina perniagaan lebih kukuh dan masa depan lebih cerah.

Kempen berkenaan tercetus daripada pemerhatian terhadap budaya rakyat Malaysia yang sering dikenali dengan sifat ‘kepoh’.

No Image Caption

Walaupun lazimnya dikaitkan dengan sikap ingin tahu, SJPP mengangkat sifat itu daripada sudut berbeza sebagai cara rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan dengan mengambil tahu mengenai orang di sekeliling, meraikan kejayaan dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Juanita berkata, tema ‘Malaysia Kita, Impian Bersama’ menjadi nadi kepada kempen berkenaan yang mengingatkan bahawa setiap impian akan menjadi lebih bermakna apabila ada insan yang percaya dan memberi sokongan sepanjang perjalanan.

“Kami berharap Kisah ‘Kepoh Bisnes’ dapat membuka mata kita kepada tindakan kecil yang sebenarnya membawa makna besar, daripada bertanya khabar hinggalah menghulurkan bantuan.

No Image Caption

“Semoga ia turut memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus menyokong antara satu sama lain dalam membina sebuah negara yang lebih kukuh, bersatu dan inklusif, di mana masyarakat berbilang kaum terus saling membantu dan bersama-sama melangkah ke hadapan,” katanya.

Kempen berkenaan berlangsung sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bermula dengan pelancaran filem kempen pada 14 Ogos 2026.

Beberapa peraduan media sosial turut dianjurkan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia berkongsi kisah mengenai sokongan dan keprihatinan, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah.

Menerusi filem Kisah ‘Kepoh Bisnes’, Aishah digambarkan sebagai seorang usahawan muda yang mengusahakan sebuah inap desa kecil yang berkembang lebih pantas daripada jangkaannya.

No Image Caption

Dalam mengembangkan perniagaan, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk tempahan bertindih, masalah sistem, pelanggan yang kecewa dan nasihat keluarga yang tidak putus-putus.

Keadaan itu turut diserikan dengan gelagat dua jirannya yang terkenal dengan sifat ‘kepoh’ dan sentiasa ingin tahu mengenai perkembangan perniagaannya.

Bagaimanapun, apabila Aishah hampir terpedaya dengan tawaran pembiayaan perniagaan tidak sah daripada penipu, dua jiran berkenaan tampil membantu dengan memperkenalkannya kepada SJPP serta sokongan yang tersedia menerusi skim jaminan pembiayaan.

Filem itu turut mengetengahkan kepentingan mendapatkan pembiayaan daripada saluran yang dipercayai, selain memperkenalkan peranan SJPP dalam memudah cara akses pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia menerusi jaminan pembiayaan Kerajaan melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Maklumat lanjut mengenai filem Kisah ‘Kepoh Bisnes’ boleh ditonton menerusi platform YouTube dan TikTok SJPP.

Scroll to Top