SK Convent (1) Bukit Nanas bawa pulang dua kejayaan

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas melakar sejarah apabila merangkul dua kemenangan dalam Pertandingan Choral Speaking dan Bicara Berirama bagi sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Kemenangan yang diraih sekolah itu adalah johan kategori sekolah rendah sekali gus melayakkan kedua-dua pasukan dari sekolah sama ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Pertandingan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Mary di sini, mempertandingkan dua acara masing-masing bagi sekolah rendah dan menengah melibatkan penyertaan hampir 400 peserta dari sekolah mewakili zon Keramat, Pudu, Bangsar dan Sentul.

Bagi Choral Speaking, SK Convent (1) Bukit Nanas berjaya menewaskan empat sekolah lain iaitu SK Bukit Bandaraya di tempat kedua, SK Bandar Baru Sentul (ketiga), SK Convent Bukit Nanas 2 (keempat) dan SK Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) 1.

Konduktor terbaik pula dianugerahkan kepada pasukan SK TTDI 1 yang mewakili zon Bangsar manakala Fia Mizaara Bakhtiar Effendy dari SK Convent (1) Bukit Nanas dinobatkan sebagai konduktor terbaik bagi acara Bicara Berirama.

Guru Besar sekolah itu, Indrani Letchumanan berkata, kejayaan itu hasil usahasama pihak guru, murid-murid dan ibu bapa yang sentiasa memberikan komitmen tinggi terhadap pasukan yang mewakili sekolah.

Walaupun persediaan hanya dapat dilakukan dalam tempoh dua bulan, katanya, tempoh singkat itu tetap memberikan ruang yang mencukupi bagi pasukan sekolah memberikan persembahan terbaik.

“Saya sangat gembira walaupun tahun ini terlalu banyak kekangan untuk mengadakan latihan lebih awal, namun kerjasama erat semua pihak berjaya membuahkan hasil.

“Bagi Choral Speaking, kemenangan kali ini merupakan rekod keempat sekolah ini mara ke peringkat kebangsaan. Ini semua adalah hasil usaha guru yang berdedikasi, berpengalaman dan bekerja keras selain sokongan jitu ibu bapa,” katanya.

Scroll to Top