PETALING JAYA: Seramai 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa, Nepal gagal dihubungi selepas kawasan tersebut dilanda banjir besar.
Perkara itu disahkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wisma Putra berkata, kehilangan komunikasi itu dipercayai berpunca secara langsung daripada gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.
“Pihak Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini sedang dikerahkan oleh kerajaan Nepal.
“Ini bagi mengesan warganegara Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra menasihatkan warganegara Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal terutama mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, supaya kekal berwaspada.
Tambahnya, mereka perlu mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan. – UTUSAN
